PETALING JAYA: Bayaran gaji yang lumayan sehingga memperoleh RM35,000 sebulan membuatkan ramai jururawat tempatan berhijrah ke luar negara termasuk di Arab Saudi.
Nur Izzatul Aini Mohd Hata, 39, yang sudah 13 tahun bekerja di negara itu memberitahu, dia juga memperoleh pengalaman bekerja yang sangat berharga selain mampu berkomunikasi dalam Bahasa Arab dengan pesakit.
Bagaimanapun, katanya, cabaran bekerja di Arab Saudi adalah daripada segi jumlah waktu jam bekerja yang lebih panjang berbanding di Malaysia.
“Waktu syif bekerja tidak sama macam di negara kita. Sehari ada dua syif dari pukul 7 pagi hingga 7 malam dan 7 malam hingga 7 pagi keesokan hari.
“Sehari perlu bekerja dalam 12 jam dan seminggu mencecah sehingga 48 jam. Selalunya, saya akan bekerja lebih 48 jam seminggu kerana komitmen terhadap pesakit dan kesibukan di hospital.
“Namun, disebabkan tawaran gaji yang lumayan, saya memilih untuk bekerja dan menjalani kehidupan bersama suami dan dua anak di Arab Saudi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini berdepan krisis kekurangan jururawat yang kritikal akibat penghijrahan tenaga kerja ke luar negara serta beralih ke sektor kesihatan swasta.
Ibu dua anak itu kini berkhidmat sebagai jururawat kanan di Kompleks Perubatan Tentera Raja Fahd di Jeddah. Sebelum berhijrah ke luar negara pada 2012, dia pernah berkhidmat di hospital swasta di ibu negara.
Kongsinya, terdapat kira-kira 100 jururawat dari Malaysia yang bertugas di hospitalnya bekerja sekarang.
“Kalau hendak menjadi jururawat di Arab Saudi perlu mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun di Malaysia.
“Pengalaman bekerja di sini sangat mahal. Sekiranya kita merancang untuk bekerja di negara Eropah pula, mereka akan bertanya sama ada mempunyai pengalaman bekerja hospital di Arab Saudi,” katanya. – UTUSAN










