Jerebu: Putrajaya, Melaka catat IPU tidak sihat - Utusan Malaysia

Jerebu: Putrajaya, Melaka catat IPU tidak sihat

KEADAAN jerebu yang semakin memburuk ketika tinjauan di sekitar Nilai 3, Nilai, Seremban, Negeri Sembilan hari ini.-UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat ekoran jerebu setakat pukul 2 petang tadi.

Menurut laporan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya dan Alor Gajah, Melaka menjadi kawasan terbaharu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 139 bagi Putrajaya dan 110 bagi Alor Gajah.

Pada masa sama, Nilai di Negeri Sembilan kekal sebagai kawasan paling terjejas dengan bacaan IPU tertinggi iaitu 162, manakala dua kawasan di Selangor, iaitu Johan Setia dan Banting, masing-masing mencatatkan bacaan 154.

Kesemua kawasan terbabit mencatatkan bacaan melebihi paras 100, yang diklasifikasikan sebagai tidak sihat untuk kesihatan awam, terutamanya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mengalami masalah pernafasan.

bacaan IPU antara 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN