PORT DICKSON: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan kini memantau perkembangan kejadian tumpahan minyak di perairan daerah ini susulan sebuah kapal pengorek pasir tenggelam pada 26 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, pihak JAS menerima aduan insiden tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin itu daripada pihak Pejabat Perikanan Negeri Sembilan.
Katanya, satu pasukan untuk menilai kesan tumpahan telah digerakkan selepas maklumat awal menyatakan penemuan kesan dan bau berminyak
“Maklumat diterima terdapat sebuat kapal yang melakukan kerja-kerja tambakan telah tenggelam di perairan Kuala Linggi.
“Kesemua kru kapal telah meninggalkan kapal dan diselamatkan. Walaupun maklumat awal mengatakan tiada tumpahan minyak namun pengadang minyak telah dipasang untuk pencegahan awal pencemaran minyak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, pada sebelah petang, bau yang kuat dan kelihatan minyak pada permukaan air dan pantai dikesan di permukaan air.
“Namun siasatan di Pantai Cermin mendapati tiada kesan minyak dikesan di sepanjang pantai. Persampelan telah dibuat namun tiada kesan berminyak ditemui.
“Pemakluman awal telah dibuat kepada Pegawai Daerah Port Dickson selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah bagi bersedia menggerakkan Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah sekiranya terdapat minyak di pantai,” katanya – UTUSAN










