PETALING JAYA: Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman terhadap kerajaan bagi mengisytiharkan teks bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih dan mengatasi teks dalam bahasa Inggeris.
Mohamed Haniff berkata, bahasa Melayu sebagai ‘bahasa kebangsaan’ sudah dinyatakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dalam beberapa kes diwakilinya, mahkamah dan pihak berkuasa belum boleh mengiktiraf kewujudan teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sebagai teks yang sah.
“Maka ini amat pelik dan memalukan kerana kita sudah 68 tahun merdeka, tak kan undang-undang tertinggi di Malaysia tidak mempunyai teks undang-undang dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.
“Sebab itu saya memfailkan writ saman dan penyata tuntutan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur melalui firma Tetuan Ahmad Fuad Abi & Aidil dan menamakan kerajaan sebagai defendan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamed Haniff berkata, tindakan itu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa kebangsaan adalah teks sahih yang mengatasi teks bahasa Inggeris.
Katanya, pemfailan saman itu berasaskan kepada Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa jika dan apabila Perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih.
“Dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris, maka teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan didakwa masih gagal, enggan dan abai daripada menguatkuasakan kedudukan teks bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah melancarkan teks tersebut pada 29 September 2003.
“Ini adalah satu kemungkiran terhadap kewajipan kerajaan di bawah Perlembagaan untuk mengambil segala langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan kesemua proses dan prosedur sistem tadbir urus yang sah termasuk bagi memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Mohamed Haniff berkata, sangat tidak munasabah bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seperti Malaysia masih tidak memiliki teks sahih Perlembagaan dalam bahasa kebangsaannya sendiri.
“Selepas lebih enam dekad mencapai kemerdekaan. Peri penting pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah intipati langsung kepada keutuhan patriotisme saya sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Yang mana terjejas dan akan terus terjejas seandainya undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, masih tidak dianggap wujud di dalam bahasa kebangsaan,” katanya. – UTUSAN










