KUALA LUMPUR: ASEAN kini semakin mendapat kepercayaan daripada kuasa-kuasa besar dunia, menjadikannya sebagai sebuah rantau yang dihormati dan berpotensi besar dalam aspek keamanan dan ekonomi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN kini telah berkembang dari lima negara anggota kepada sepuluh negara dan dijangka akan kesebelas anggota pada Oktober ini.
“Seperti yang saya katakan, ASEAN telah mendapat kepercayaan daripada kuasa-kuasa besar, bukan sahaja diiktiraf sebagai kawasan yang aman, tetapi juga sebagai sebuah rantau yang mempunyai potensi ekonomi yang amat baik,” katanya dalam sidang media penutup selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AAM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, Malaysia telah memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa apabila berjaya mengadakan sebanyak 21 mesyuarat melibatkan ASEAN dan rakan-rakan luarnya.
Antara mesyuarat utama ialah Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV).
Selain itu, Malaysia turut menjadi platform pertemuan dua kuasa besar dunia antara China dan Amerika Syarikat (AS) dalam menjalinkan kerjasama serta rundingan buat kali pertama.
Dalam masa yang sama, sebanyak 15 mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya telah diadakan dari pelbagai negara, termasuk Algeria, Australia, Bangladesh, Brunei, Kanada, China, Jepun, New Zealand, Palestin, Filipina, Switzerland, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Uruguay.
“Perjumpaan ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama strategik serta menyuarakan kepentingan rantau ini dalam pelbagai isu global, termasuk pembangunan ekonomi, keamanan serantau, dan hak asasi manusia,” ujarnya.
Mohamad turut memaklumkan yang ASEAN kini menerima permohonan dari pelbagai negara untuk menjadi rakan sektoral serta rakan dialog.
Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 terpaksa meletakkan moratorium terhadap permohonan berkenaan, dengan antara alasan untuk mengelak suara ASEAN ‘ditelan’ akibat kehadiran terlalu banyak rakan sektoral dan dialog.-UTUSAN










