PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) menyambut baik pengumuman gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai di Kuala Lumpur, semalam.
Jabatan Negara AS menerusi kenyataan rasmi memaklumkan Presiden, Donald Trump dan Setiausaha Negara itu, Marco Rubio komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan di negara terlibat.
Jelasnya, AS menggesa kedua-dua kerajaan menunaikan komitmen yang telah dipersetujui bagi menamatkan konflik yang berlarutan.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepemimpinan beliau serta memainkan peranan penting sebagai tuan rumah rundingan gencatan senjata ini.
“Kami menggesa semua pihak agar terus melaksanakan segala perjanjian yang dicapai. AS akan kekal komited dan terus terlibat secara aktif dalam proses damai anjuran bersama Washington dan Kuala Lumpur itu,” katanya.
Semalam, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk berdamai dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Gencatan senjata tersebut menandakan satu langkah penting ke arah kestabilan serantau selepas ketegangan antara Kemboja dan Thailand meningkat sejak beberapa minggu lalu.
Putrajaya menjadi saksi kepada detik bersejarah itu apabila Anwar mengumumkannya menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, semalam.-UTUSAN









