(Analisis)Pas Terengganu persiap kepemimpinan muda

(Analisis) Pas Terengganu persiap kepemimpinan muda

Abdul Hadi Awang muncul di khalayak selepas lebih sebulan ‘berehat’ dan menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). apabila hadir menunaikan solat jenazah untuk bekas Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Hamzah Ngah di Masjid Rusila, Marang, kelmarin. - FB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN, sosok Tan Sri Abdul Hadi Awang muncul di khalayak selepas lebih sebulan ‘berehat’ dan menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Walaupun masih dalam fasa pemulihan, Presiden Pas itu tetap hadir menunaikan solat jenazah untuk bekas Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Hamzah Ngah di Masjid Rusila, Marang. Allahyarham yang juga tenaga pengajar Darul Quran Rusila menghembuskan nafas terakhir Isnin lalu.

Perkara itu dikongsi Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, anak sulung Abdul Hadi dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu dalam laman sosialnya.

Kemunculan Abdul Hadi mencuri tumpuan bukan sahaja kerana faktor kesihatannya tetapi polemik berhubung kedudukannya sebagai Presiden Pas menjelang Muktamar Pas Ke-71 di Kedah, September ini.

Hakikatnya, nama Abdul Hadi sangat sinonim dengan Pas. Beliau mewarnai politik Malaysia terutama sejak menerajui parti itu mulai 2003. Malah, apabila sebut sahaja Pas Terengganu, pasti tidak dipisahkan dengan nama Abdul Hadi yang mulai aktif dalam politik apabila menjadi Setiausaha Cawangan Pas Kampung Rusila, iaitu ketika beliau masih belajar pada 1964.

Nama beliau yang ‘gah’ dalam politik Pas Terengganu membuatkan seolah-olah ramai ‘tidak kenal’ dengan pemimpin-pemimpin atau ahli politik Pas Terengganu yang lain di peringkat nasional. Sedangkan Pas Terengganu menerusi Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15).

Mungkin hanya nama Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang tidak asing selaku Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas. Situasi ini juga mungkin disebabkan pemimpin-pemimpin Pas Terengganu yang lain ‘tidak minat’ dengan jawatan nasional dengan mahu memberi fokus di peringkat negeri.

“Bagilah kepada pemimpin muda,” kata seorang pemimpin senior apabila ditanya mengenai pemilihan kepemimpinan Pas pada muktamar parti itu nanti. Ketika ini, dua pemimpin muda Pas Terengganu yang berada dalam senarai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas ialah Muhammad Khalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Azman Ibrahim.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dilihat mampu lari daripada imej ‘anak Presiden Pas’ dengan kemampuannya sendiri untuk menjadi pemimpin di dalam parti itu. Pada pemilihan AJK Pas bagi sesi 2019-2021, beliau yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda Pas memperoleh undi tertinggi.

Dengan memiliki dua wakil dalam AJK Pas ketika ini, Pas Terengganu dijangka menonjolkan seorang lagi pemimpin mudanya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim pada Muktamar Pas Ke-71.

Pas Terengganu melihat Hishamuddin yang juga ADUN Tepuh sebagai pemimpin yang berpotensi ditonjolkan di peringkat nasional apatah lagi beliau dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029.

Tiga nama ini dijangka dicalonkan ahli-ahli Pas Terengganu dalam mesyuarat kawasannya untuk diketengahkan di peringkat Pusat. Dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, mengikut percaturannya nama-nama ini diramal menjadi ‘pemain utama’ politik Pas sama ada di Terengganu mahupun nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN