PETALING JAYA: Pas menyeru penyatuan antara kelompok Melayu Islam, Bumiputera dan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem bersama parti politik tertentu termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kekuatan baharu dalam menyelamatkan Malaysia.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan itu berasaskan konsep perpaduan antara Islam dan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem seperti yang pernah dilakukan Rasulullah.
Menurut beliau, perubahan perlu dilakukan melalui kerjasama umat Melayu Islam bersama Bumiputera serta masyarakat bukan Melayu yang tidak ekstrem.
“Pas mengajak kepada perubahan berteladankan Rasulullah serta berasaskan kekuatan perpaduan Islam Arab dan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Hal ini dilaksanakan melalui umat Melayu Islam bersama Bumiputera dan bukan Islam bukan dalam kalangan Melayu yang tidak ekstrem.
“Dahulukan Pas bersama UMNO, Barisan Nasional (BN), kumpulan Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem seperti MCA, MIC, Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dan lain-lain, diikuti oleh Sarawak dan Sabah bagi menyelamatkan Malaysia yang tercinta ini,” katanya di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa Pakatan Harapan (PH) gagal berlaku adil dalam menunaikan amanah selepas mengambil alih kerajaan melalui kaedah yang disifatkannya sebagai tidak demokratik.
“PH tidak berlaku adil dalam menunaikan amanah selepas merampas kerajaan secara menipu dan menggunakan helah yang tidak demokratik melalui rasuah dan ugutan.
“Mereka juga mengambil tindakan yang salah dan zalim dalam politik, pentadbiran, kehakiman, ekonomi, pendidikan dan lain-lain, serta bertindak secara terpilih terhadap rasuah dan lain-lain.
“Selain itu, diberikan peruntukan yang berbeza antara pihak kerajaan dengan pembangkang, peruntukan untuk Sarawak dan Sabah terhadap Bumiputera. Semua ini bersifat langkah politik yang membahayakan kedaulatan Melayu dan Islam, meminggirkan bahasa kebangsaan dalam pelajaran, pendidikan dan pentadbiran,” katanya.
Abdul Hadi memberi contoh di mana slogan PH iaitu Madani yang kiblat solatnya ke arah Baitullah di Mekah, adapun kiblat politik dan ekonominya ke arah Rumah Putih di Washington.
“Mereka juga berkonsepkan Islam sekularisme dan liberalisme berpandukan kaedah politik barat,” katanya. – UTUSAN









