Pas dan Bersatu: Retak yang buka peluang baharu? - Utusan Malaysia

Pas dan Bersatu: Retak yang buka peluang baharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hubungan antara Pas dan Bersatu nampaknya benar-benar sudah sampai ke penghujung. Kehadiran Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada program Reset yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin memberikan gambaran yang terang lagi bersuluh bahawa parti itu kini sedang menyusun jajaran baharu.

Realitinya, Pas dan Bersatu masih dalam kerangka pembangkang. Masih dalam Perikatan Nasional (PN). Tetapi apabila Pas memilih untuk bersama Hamzah yang disingkirkan oleh Tan Sri Muhyiddin dari Bersatu, bermakna Pas sudah sedia untuk berpatah arang. Atau mungkin bersedia melupakan PN.

Jelas kedua-dua bekas rakan sekutu itu sudah merangka pendekatan berbeza dalam persaingan kepimpinan dan percaturan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Persoalannya, adakah keretakan ini bakal melemahkan pembangkang atau sebenarnya membuka peluang baharu kepada kedua-dua parti untuk mencari haluan politik yang lebih menguntungkan?

Sejak pembentukan PN, Pas dan Bersatu berjaya menampilkan satu gabungan yang mampu mencabar dominasi parti-parti arus perdana. Pas membawa kekuatan akar umbi yang kukuh khususnya di Pantai Timur dan kawasan majoriti Melayu manakala Bersatu menawarkan imej nasional dengan kepimpinan yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

Gabungan kedua-duanya membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam beberapa pilihan raya. Pas muncul sebagai parti yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN. Sementara Bersatu memainkan peranan penting sebagai wajah utama gabungan tersebut. Namun, seperti mana-mana kerjasama politik, hubungan yang dibina atas kepentingan bersama tidak semestinya kekal utuh apabila kepentingan itu mula berubah.

Antara faktor yang menyumbang kepada ketegangan hubungan Pas dan Bersatu ialah soal kepimpinan dalam blok pembangkang. Pas kini berada dalam kedudukan yang lebih kuat berbanding beberapa tahun lalu. Prestasi parti itu dalam pilihan raya menunjukkan peningkatan sokongan yang konsisten, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dan anak muda.

Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan Pas lebih yakin untuk memainkan peranan dominan dalam menentukan hala tuju pembangkang. Bersatu pula berdepan pelbagai cabaran termasuk isu dalaman, kehilangan beberapa tokoh penting dan usaha untuk mengekalkan pengaruh di kawasan yang semakin kompetitif.

Perbezaan kekuatan ini menimbulkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang layak menjadi peneraju utama pembangkang. Walaupun perkara itu jarang dibincangkan secara terbuka, hakikatnya ia menjadi antara faktor yang mempengaruhi hubungan kedua-dua parti.

Selain itu, terdapat juga perbezaan dari segi strategi politik. Pas cenderung mengekalkan identitinya sebagai parti Islam yang berpegang kepada agenda tersendiri. Bersatu pula menampilkan imej yang lebih sederhana dan inklusif bagi menarik sokongan pengundi pelbagai latar belakang kaum dan agama.

Perbezaan pendekatan ini mungkin tidak menjadi masalah ketika kedua-duanya mempunyai musuh politik yang sama. Namun apabila perhatian mula beralih kepada strategi jangka panjang dan persediaan menghadapi PRU16, perbezaan tersebut semakin sukar disembunyikan.

Namun begitu, setiap krisis politik sering membawa peluang baharu. Jika hubungan Pas dan Bersatu benar-benar mengalami perubahan besar, kedua-dua parti mungkin mempunyai ruang untuk membentuk strategi yang lebih sesuai dengan kekuatan masing-masing.

Bagi Pas, keretakan dengan Bersatu boleh membuka peluang untuk memperluaskan kerjasama dengan kumpulan atau parti politik lain yang mempunyai matlamat hampir sama, atau tokoh pemimpin yang mereka selesa untuk bekerjasama.

Lagi pula, keretakan kedua-dua parti itu turut terkait dengan kem Hamzah yang ditolak penyertaan dalam PN oleh Muhyiddin walaupun Pas mahukan sebaliknya.

Apapun Pas mempunyai kelebihan daripada segi organisasi, jentera dan pengaruh akar umbi yang membolehkannya bergerak secara lebih bebas tanpa terlalu bergantung kepada rakan gabungan.

Dalam masa sama, tanpa Bersatu Pas berpeluang menampilkan dirinya sebagai kuasa politik Melayu-Islam yang lebih berdikari. Ini boleh menjadi faktor penting dalam menarik pengundi yang mahukan kepimpinan yang jelas dan konsisten.

Bersatu pula mungkin melihat situasi ini sebagai peluang untuk melakukan penstrukturan semula. Parti itu boleh memberi tumpuan kepada usaha membina identiti yang lebih tersendiri tanpa bergantung kepada kekuatan Pas. Dalam politik moden, kemampuan menarik pengundi bandar, golongan profesional dan pengundi muda semakin penting.

Sekiranya Bersatu berjaya menyesuaikan pendekatannya dengan kehendak kelompok ini, parti tersebut masih mempunyai peluang untuk kekal relevan dalam landskap politik negara. Malah, terdapat kemungkinan munculnya kerjasama baharu dengan gerakan politik yang sedang berkembang atau parti yang bakal ditubuhkan oleh tokoh-tokoh tertentu.

Dalam konteks yang lebih luas, keretakan Pas dan Bersatu juga boleh mencetuskan penjajaran semula politik Malaysia. Sejarah politik negara menunjukkan bahawa gabungan dan pakatan sering berubah mengikut keperluan semasa. Hubungan yang kelihatan mustahil hari ini boleh menjadi kenyataan esok apabila kepentingan politik berubah.

Menjelang PRU16, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Pas mungkin mencari sekutu baharu bagi memperkukuhkan pengaruhnya di peringkat nasional. Bersatu pula mungkin berusaha membentuk blok politik yang lebih fleksibel dan mampu menarik sokongan rentas kelompok pengundi.

Pada masa sama, kemunculan gerakan politik baharu yang dipimpin oleh tokoh-tokoh berpengaruh juga berpotensi mengubah landskap sedia ada. Jika wujud parti atau gabungan baharu yang mampu menawarkan naratif segar kepada rakyat, kedua-dua Pas dan Bersatu perlu menyesuaikan strategi masing-masing untuk kekal kompetitif.

Apa yang pasti, pengundi akan menjadi penentu utama dalam semua percaturan ini. Rakyat semakin matang dalam menilai politik dan tidak lagi hanya bergantung kepada sentimen tradisional semata-mata. Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan tadbir urus yang baik semakin menjadi pertimbangan utama dalam membuat pilihan.

Oleh itu, sama ada Pas dan Bersatu terus bersama atau memilih haluan berbeza, kejayaan mereka akhirnya bergantung kepada kemampuan menawarkan penyelesaian yang meyakinkan kepada masalah rakyat.

Politik masa depan tidak hanya bergantung kepada siapa berkawan dengan siapa, tetapi siapa yang mampu memberikan harapan yang paling realistik kepada pengundi.

Kesimpulannya, keretakan hubungan Pas dan Bersatu tidak semestinya membawa kepada kelemahan politik kedua-dua pihak. Sebaliknya, ia boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan strategi baharu, kerjasama baharu dan mungkin juga penjajaran semula politik yang lebih besar menjelang PRU16.

Jika dilihat kepada sejarah politik negara, setiap krisis sering kali di susuli dengan jajaran baharu yang sukar dijangka. Sebab itu, berpisahnya Pas dengan Bersatu tidak bermakna PN akan lemah. Dan ia juga tidak bermakna Bersatu akan berkubur kerana pasti ada rakan baharu yang mahu berganding bahu.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN