Adnan Yaakob gagal ketepi penalti RM84,000

Adnan Yaakob gagal ketepi penalti RM84,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob gagal membatalkan penghakiman terus yang memerintahkannya untuk membayar penalti berjumlah RM84,000.

Penghakiman terus itu diperoleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkait pengabaian pendedahan maklumat penting (disclosure omission) dalam prospektus ringkasan PASDEC Bhd. ketika beliau menjadi pengerusi.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan mengenai sesuatu kes tanpa mendengar keterangan saksi.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim memutuskan demikian selepas mendapati rayuan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai itu tidak bermerit.

Hakim Azimah ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit menyatakan kes ini bermula di Mahkamah Majistret sebagai tindakan menuntut hutang susulan pelanggaran Seksyen 354 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 berkaitan pengabaian maklumat penting dalam prospektus PASDEC semasa Adnan menjadi pengarah.

Tambah panel terbabit, Adnan sepatutnya memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan penalti tersebut.

Selain itu, Adnan juga gagal mengemukakan sebarang isu yang boleh dibicarakan bagi menghalang penghakiman terus daripada dikenakan terhadapnya.

Selepas menolak rayuan, bekas pemimpin parti politik Umno itu, mahkamah turut memerintahkan Adnan membayar kos sebanyak RM10,000.

Pada prosiding hari ini, SC diwakili peguam-peguam, Lambert Rasa-Ratnam, Chia Oh Sheng dan Lim Jun Xian manakala Adnan yang juga seorang peguam mewakili dirinya sendiri.

SC telah mengenakan penalti kepada Adnan dan tiga lagi pengarah PASDEC pada Ogos 2020.

Mereka kemudian mengemukakan rayuan kepada SC tetapi telah ditolak pada 25 Januari 2021. Susulan itu, SC memfailkan tindakan pada tahun 2022 untuk mendapatkan penalti tersebut.

SC mendakwa bahawa lembaga pengarah PASDEC telah meluluskan penerbitan prospektus ringkasan yang mengandungi maklumat yang tidak lengkap, iaitu berkaitan kelulusan yang masih belum diterima daripada Menteri Kewangan untuk Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) melanggan hak mereka pada harga RM0.35 sesaham.

Oleh itu, berdasarkan Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA), mereka dianggap telah melakukan pelanggaran dengan persetujuan atau penglibatan mereka, dan gagal membuktikan bahawa mereka telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah pelanggaran tersebut. Ini menyebabkan penalti dikenakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN