PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan, tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangannya yang terlibat dalam salah laku termasuk insiden kekerasan terhadap klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).
Perkara itu susulan pendedahan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) semalam yang mendedahkan laporan siasatan berkaitan kegagalan AADK mengambil tindakan susulan ke atas individu yang disahkan positif dadah.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menyambut baik laporan siasatan itu dan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan tatakelakuan perkhidmatan yang berkuat kuasa.
“AADK tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku atau pelanggaran integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua kakitangan AADK diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan mengikut Perintah Tetap Ketua Pengarah.
Dalam masa sama, katanya, AADK akan terus memperkukuh kerjasama dengan EAIC bagi memastikan aspek tadbir urus dan siasatan ke atas sebarang aduan salah laku dapat dilaksanakan secara telus.
“Kerjasama erat dengan EAIC akan diteruskan untuk memantapkan integriti warga kerja AADK,” katanya.
Semalam, EAIC mencadangkan tindakan jenayah dan tatatertib dikenakan terhadap pegawai AADK susulan insiden kekerasan terhadap seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Pahang.
Suruhanjaya itu memaklumkan, siasatan dijalankan selepas menerima aduan berhubung kejadian pukul dan kecederaan dialami klien terbabit ketika menjalani pemulihan pada 2024.
Katanya, terdapat kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN memandangkan pemakluman mengenai kecederaan hanya dibuat kepada Ibu Pejabat AADK dalam tempoh tidak munasabah. – UTUSAN










