SEPANG: Sebanyak 27 ekor lembu dan lima ekor kambing telah dikorbankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan rakan strategik yang diadakan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Program ibadah korban berkenaan merupakan hasil sumbangan ikhlas daripada warga AADK serta rakan-rakan strategik agensi tersebut.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagi majlis yang berlangsung di PUSPEN Sepang hari ini, sebanyak empat ekor lembu telah ditumbangkan hasil sumbangan Ibu Pejabat AADK dan rakan strategik.
Menurut beliau, daging-daging korban tersebut akan diagihkan secara sasar kepada golongan asnaf, kakitangan sokongan AADK, serta para klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di pusat berkenaan.
“Ibadah korban yang dilaksanakan ini bukan sekadar ritual tahunan, melainkan simbolik kepada pengorbanan besar yang sedang dilalui oleh para klien AADK.
“Bagi klien AADK, mereka kini sedang ‘mengorbankan’ masa lampau, tabiat lama, dan keseronokan sementara demi membina masa depan yang bebas daripada dadah. Ini bukanlah satu perjuangan yang mudah.
“Penglibatan aktif para klien dalam aktiviti rewang, melapah, dan mengagihkan daging korban merupakan sebahagian daripada proses integrasi masyarakat. Komponen ini diterapkan secara holistik menerusi Model i-Pulih AADK untuk membantu mempersiapkan mereka kembali ke pangkuan komuniti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, melalui penganjuran program keagamaan seperti ini, AADK membuktikan komitmennya yang tidak hanya memfokuskan kepada rawatan fizikal dan klinikal semata-mata, malah turut menekankan aspek spiritual (kerohanian) serta sahsiah diri bagi menyuntik kekuatan dalaman para klien untuk terus kekal pulih.
Katanya, AADK turut menitipkan mesej penting agar masyarakat luar dapat memberikan sokongan padu sebagai benteng terbaik bagi mengelakkan golongan ini kembali terjebak.
“Masyarakat diseru untuk membuang stigma negatif dan tidak meminggirkan bekas klien atau mereka yang sedang dalam proses pemulihan, sebaliknya menghulurkan tangan serta memberikan peluang kedua kepada mereka, terutamanya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
“AADK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas, sukarelawan, dan rakan strategik yang menjayakan program ini, dengan harapan segala ibadah dan pengorbanan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT,” ujarnya. – UTUSAN










