KEPALA BATAS : Negeri-negeri Pantai Timur dikenal pasti sebagai antara kawasan yang mencatat kadar penagihan dadah sintetik tertinggi di negara ini khususnya membabitkan pengambilan pil kuda.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, trend tersebut selari dengan peningkatan ketara penggunaan dadah sintetik yang kini menguasai sebahagian besar kes penagihan dadah di Malaysia.
“Kalau kita tengok, sudah tentu negeri-negeri Pantai Timur juga antara yang kadar tertinggi, khususnya melibatkan pengambilan pil kuda. Tetapi, kita tidak nafikan negeri-negeri Pantai Barat juga kadar penagihannya tinggi.
“Cuma di Pantai Timur, pil kuda ini menjadi antara dadah yang lebih dominan berbanding heroin atau ganja,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026, di Dataran Sungai Muda, di sini hari ini.
Ruslin berkata, kebanyakan kes penagihan dadah sintetik melibatkan penggunaan ‘amphetamine-type stimulants’ (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Katanya, golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan paling ramai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik apabila mewakili 84 peratus daripada keseluruhan penagih bahan tersebut.
“Ini merupakan satu angka yang membimbangkan kerana majoriti penagih dadah sintetik adalah dalam kalangan belia yang sepatutnya menjadi aset penting kepada pembangunan negara.
“Kita melihat dadah sintetik ini semakin diterima sebagai sebahagian daripada gaya hidup segelintir golongan muda kerana ia mudah diperoleh dan memberi kesan yang lebih cepat berbanding dadah tradisional,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh rakan sebaya dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong golongan belia terjebak dengan penyalahgunaan dadah sintetik selain masalah keluarga, konflik rumah tangga, tekanan emosi serta masalah dalam hubungan sosial.
Mengulas langkah untuk menangani isu tersebut pula, kata Ruslin, peningkatan mendadak penggunaan dadah sintetik turut menjadi cabaran baharu kepada AADK kerana pendekatan rawatan dan pemulihan sebelum ini lebih tertumpu kepada penagih dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja.
“Dadah sintetik adalah satu ancaman baharu dan juga cabaran baharu kepada AADK. Sebab itu modul rawatan dan pemulihan yang sedia ada sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan.
“Ini termasuk usaha menangani penyalahgunaan dadah sintetik yang kini turut dikaitkan dengan penggunaan vape dalam kalangan belia,” katanya. – UTUSAN










