Pengorbanan bahasa perpaduan

Pengorbanan bahasa perpaduan

AIDILADHA mengajar bahawa perpaduan lahir apabila masyarakat saling memahami dan berkongsi kesusahan bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM masyarakat yang semakin sibuk dan individualistik, Aidiladha hadir sebagai ruang untuk manusia kembali memahami nilai kebersamaan dan kepentingan saling membantu antara satu sama lain.

Aidiladha mengajar masyarakat tentang pentingnya memahami kesusahan orang lain. Dalam kehidupan moden hari ini, ramai terlalu fokus kepada diri sendiri sehingga lupa masih ada individu yang hidup dalam kesempitan dan kekurangan.

Melalui ibadah korban, masyarakat diingatkan bahawa rezeki yang dimiliki juga mempunyai hak untuk dikongsi bersama mereka yang memerlukan.

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, Aidiladha turut memainkan peranan penting dalam membina perpaduan sosial.

Walaupun ibadah korban merupakan amalan umat Islam, nilai yang dibawa oleh Aidiladha bersifat universal kerana ia berkaitan kemanusiaan, kasih sayang dan keprihatinan terhadap orang lain.

Terdapat juga masyarakat bukan Islam yang turut membantu menjayakan program korban melalui aktiviti kebajikan, pengurusan komuniti dan semangat kejiranan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa pengorbanan dan kebaikan sebenarnya mampu menjadi bahasa perpaduan yang melangkaui perbezaan agama, budaya dan bangsa.

Aidiladha juga mengajar bahawa perpaduan lahir apabila masyarakat saling memahami dan berkongsi kesusahan bersama.

Ketika daging korban diagihkan kepada golongan memerlukan, ia bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi turut menyampaikan mesej bahawa mereka tidak dilupakan oleh masyarakat sekeliling.

Hakikatnya, masyarakat yang kuat bukan hanya diukur melalui pembangunan ekonomi atau kemajuan teknologi, tetapi juga melalui kekuatan nilai kemanusiaan dalam kehidupan sosial mereka.

Dalam diam, Aidiladha sebenarnya membentuk komunikasi sosial yang menyatukan masyarakat melalui nilai kasih sayang dan pengorbanan.

Justeru, Aidiladha perlu difahami sebagai proses membina semula hubungan manusia yang semakin renggang dalam dunia moden.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi persaingan, tekanan dan konflik digital, nilai pengorbanan dan empati menjadi semakin penting untuk memastikan masyarakat terus hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Aidiladha mengajar bahawa perpaduan tidak semestinya lahir melalui ucapan besar atau kempen yang gah.

Kadangkala perpaduan bermula daripada tindakan kecil yang ikhlas seperti berkongsi rezeki, memahami kesusahan orang lain dan membantu tanpa mengharapkan balasan. Dalam diam, pengorbanan sebenarnya menjadi bahasa perpaduan yang paling kuat dalam kehidupan manusia. – UTUSAN

DR. MIHARAINI MD. GHANI
Pusat Pengajian Komunikasi,
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN