SHAH ALAM: UMNO Selangor mahu kembali menjadi parti dominan dan bukannya dilabel sekadar pelengkap pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, pihaknya menyahut saranan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai hala tuju itu.
Jelas beliau, setiap ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu sentiasa memahami aspirasi berkenaan.
“Kita tidak mahu dianggap sebagai hanya pelengkap namun mesti dilihat supaya kembali dominan.
“Parti (politik) mempunyai visi dan hala tuju masing-masing. Pastinya presiden juga telah meletakkan ini sebagai hala tuju UMNO,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Sayap-Sayap UMNO negeri di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, malam tadi.
Menurut Megat, pihaknya telah merangka pelan yang dibincangkan di peringkat pengurusan parti itu.
“Sebaik tempoh dua tahun sebelum pilihan raya, kita akan masuk gear enam untuk persediaan menghadapi PRU16. Jadi, apa yang berlaku kini dan beberapa bulan sebelumnya antara persiapan supaya UMNO Selangor boleh kembali bangkit,” ujarnya.
Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, pihaknya turut akan memastikan Kerajaan Perpaduan ketika ini kekal dan tidak tergugat.
“Hubungan saya dengan Datuk Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) baik dan kita akan lihat sewaktu PRU nanti untuk berbincang. Namun, sehingga menuju kepada tarikh itu, UMNO Selangor mesti ada persediaan yang rapi,” katanya.
Dalam pada itu, Megat berkata, program berkenaan mencatat sejarah bagi UMNO negeri apabila menganjurkan mesyuarat semua sayap secara serentak bagi semua 22 bahagian.
“Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat perhubungan dan pengurusan lalu yang mencadangkan supaya diadakan satu pertemuan besar. Alhamdulillah, kita dapat lihat satu semangat baru terutama daripada sayap-sayap selepas mereka mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










