ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli perlu menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau masih diperlukan untuk berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.
Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, beliau melihat perkara itu belum dimuktamadkan memandangkan reaksi Perdana Menteri setakat ini hanya menerima permohonan cuti Rafizi.
Katanya, lantikan mana-mana individu sebagai menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri, lebih-lebih lagi apabila Anwar merupakan Presiden PKR.
“Sewajarnya Rafizi runding dan dapatkan kata putus Presiden. Nyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan menteri untuk beri ruang kepada Presiden membuat pilihan.
“Tetapi Rafizi perlu bersedia dan akur jika Presiden masih mahukan beliau untuk terus memegang jawatan Menteri Ekonomi. Tak semestinya wajib ada jawatan tertentu (dalam parti) sahaja (untuk jadi menteri),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Anwar menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Perdana Menteri meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri itu namun memaklumkan keputusan lanjut berkaitan hasrat meletak jawatan akan dimaklumkan kemudian.
Zamri yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Alor Setar berkata, selain jawatan Menteri Ekonomi, beliau turut berharap agar Rafizi dilantik ke jawatan kanan dalam PKR.
“Presiden masih ada jawatan lantikan dalam parti untuk diisi termasuk Naib Presiden. Saya harap Rafizi bersedia untuk terus berikan khidmat yang terbaik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, kata Zamri, kesediaan Rafizi mengosongkan jawatan menteri menunjukkan sikap tegas dan berprinsip beliau setelah tidak terpilih ke jawatan Timbalan Presiden yang disandang semasa dilantik sebagai menteri.
“Apa-apa pun pemilihan adalah urusan dalaman parti. Anggota parti diberi ruang untuk memilih dan bukan menolak sesiapa serta parti juga berhak menamakan calon untuk mengisi jawatan kerajaan pimpinan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN











