KANGAR: Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memasukkan dadah ke dalam badan di Padang Besar, pada awal bulan ini.
Mahmud Chaidilok, 21, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshahida Abdul Rahim namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, Mahmud dituduh mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 2,987 gram pada 11 Jun lalu yang didakwa dilakukan di stesen keretapi Bukit Keteri, Padang Besar sekitar pukul 9.40 malam.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kedua, Mahmud pula didakwa telah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphethamine ke dalam badan di pejabat bahagian siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada 12 Jun sekitar pukul 4 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama dan membawa denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Azmi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 September bagi serahan laporan kimia dan patologi.-UTUSAN









