SHAH ALAM: “Mohon kurangkan jaminan, sebab saya ada banyak tanggungan, kucing pun kena beri makan.”
Demikian alasan diberikan seorang lelaki yang dituduh dekat Mahkamah Majistret, di sini, kerana memiliki dadah jenis kanabis pada 5 Mac lalu.
Alasan tersebut diberikan selepas Majistret Sasha Diana Sabtu membenarkan tertuduh, Erwan Abdul Ghani, membuat rayuan susulan pengakuan salahnya terhadap pertuduhan berkenaan, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyimpan dadah jenis kanabis dengan berat anggaran 4.30 gram dekat ruang tamu sebuah rumah di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh kira-kira pukul 10 malam.
Justeru, Erwan yang tidak diwakili peguam dituduh di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman, menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tertuduh sementara menanti tarikh jatuh hukum.
Sasha Diana kemudian mengulangi jumlah jaminan tersebut sebelum membenarkan Erwan membuat rayuan terhadap tawaran yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin.
Beliau turut menetapkan 7 Jun depan bagi menjatuhkan hukuman selepas menerima laporan jabatan kimia untuk menentukan berat sebenar kanabis dimilikinya itu. – UTUSAN










