Hampir 13 tahun tiada rangkaian internet

Hampir 13 tahun tiada rangkaian internet

PENDUDUK Orang Asli di Kampung Bering Baru, Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan masih tidak menerima kemudahan rangkaian telefon untuk berhubung. – MINGGUAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Bering Baru, Pos Pasik di sini, berdepan kesukaran apabila kawasan kampung mereka tiada rangkaian internet sejak 13 tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menempuh perjalanan kira-kira selama satu jam melalui jalan tanah dan berbatu ke Kampung Pasik di sini, untuk membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan ringkas.

Seorang penduduk, Alang Jaafar, 39, berkata, penduduk terpaksa berdepan cabaran menempuh jalan tanah dan berbatu dengan menaiki motosikal untuk ke Kampung Pasik bagi mendapatkan capaian talian internet.

Katanya, ketiadaan kemudahan internet menyebabkan penduduk Kampung Bering Baru terputus hubungan dan ketinggalan banyak isu semasa.

“Sejak berpindah ke kampung ini pada 2011, kami tidak menerima kemudahan telekomunikasi dan sukar berhubung dengan orang luar atau pihak berwajib sekiranya berlaku kecemasan di kawasan kampung.

“Penduduk perlu menunggang motosikal ke Kampung Pasik untuk mencari talian telefon atau internet sekiranya mahu melaporkan kes kecemasan yang berlaku di kawasan kampung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Lenoi Ranggas, 23, berkata, mereka berharap masalah itu dapat diselesaikan kerajaan dengan membina sebuah menara telekomunikasi di kampung mereka.

“Kami terputus hubungan dengan dunia luar dan tidak tahu apa yang berlaku kerana tiada rangkaian internet walaupun mempunyai telefon pintar.

“Penduduk mohon pihak berwajib dapat mengambil perhatian supaya rakyat pedalaman dapat menikmati kemudahan telekomunikasi seperti penduduk di kawasan bandar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya akan membawa masalah telekomunikasi yang dihadapi penduduk Kampung Bering Baru kepada agensi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, talian telefon dan internet merupakan satu keperluan penting pada masa kini terutamanya penduduk di kawasan pedalaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN