Guna dana bantuan bumiputera bantu pekerja Petronas dibuang

Guna dana bantuan bumiputera bantu pekerja Petronas dibuang

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberhentian 5,000 pekerja syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) perlu dibuat secara berperingkat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, individu yang diberhentikan perlu menerima latihan keusahawanan dan bantuan modal bagi membolehkan mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan serta kemahiran.

“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdiri atas kaki sendiri. Kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini.

“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untuk mendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Minggu lalu, Petronas mengumumkan akan mengurangkan 10 peratus pekerja atau melibatkan 5,000 orang dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.

Dalam keadaan cabaran global dihadapi oleh Petronas yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Muhyiddin berkata, syarikat itu memerlukan pelan jangka panjang untuk memastikan ia terus lestari dan berdaya saing.

Katanya, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelestarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera.

“Kerajaan juga diingatkan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri,” katanya.

Ujar Muhyiddin, pertikaian antara Petronas dan Petros berhubung hak pengedaran gas di Sarawak yang belum selesai bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara ini.

Berdasarkan laporan akhbar pada 2 Jun lalu, katanya, beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025.

Jelasnya, antara sebab utama adalah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaian tersebut.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas.

“Pada masa ini terdapat 70,000 pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN