PETALING JAYA: Seramai 185,000 pelarian dan pencari suaka yang berada di negara ini wajar diberi peluang bekerja secara formal di bawah kerangka undang-undang yang selamat dan terkawal kerana langkah itu mampu memberi impak positif kepada ekonomi negara, khususnya dalam menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor kritikal.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, golongan tersebut kebanyakannya berada dalam usia bekerja, memiliki kemahiran dan berpotensi untuk menyumbang secara produktif sekiranya diberi peluang.
“MEF menyokong cadangan supaya pelarian dan pencari suaka dibenarkan bekerja secara formal. Ini bukan sahaja akan membantu menangani kekurangan tenaga kerja, malah dapat menjimatkan kos pengambilan pekerja asing seperti kos pengangkutan dan penginapan.
“Langkah ini juga mampu mengurangkan risiko eksploitasi terhadap golongan ini serta meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang buruh,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Syed Hussain berkata, penglibatan mereka dalam pasaran buruh dapat memberi manfaat kepada sektor seperti pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan penjagaan yang sering berdepan kekurangan pekerja.
Katanya, penggajian sah bukan sahaja memberi perlindungan kepada pelarian daripada konflik dan penganiayaan, tetapi juga membolehkan mereka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan, cukai dan keusahawanan.
“Kajian antarabangsa menunjukkan setiap pelarian yang diambil bekerja secara sah akan menjana nilai ekonomi melalui output kerja mereka dan sumbangan kepada ekonomi setempat,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif ini memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, agensi berkaitan, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“MEF percaya kemasukan pelarian dan pencari suaka ke dalam pasaran buruh formal adalah satu strategi menang-menang yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
“Kami bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk merangka pendekatan yang berperingkat, telus dan bertanggungjawab agar pelaksanaan dasar ini berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua,” katanya. – UTUSAN









