Aplikasi serba guna, satukan perkhidmatan pengangkutan

Aplikasi serba guna, satukan perkhidmatan pengangkutan

MOHD. RANI HISHAM SAMSUDIN (tengah) diiringi Pengarah Urusan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar (kanan) melihat koleksi akhbar dan gambar lama semasa berkunjung ke pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, semalam. – utusan/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mewujudkan aplikasi serba guna (super-apps) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan khususnya industri kereta api dan perkhidmatan pembayaran dalam talian bagi urusan pembelian tiket.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, aplikasi itu akan diwujudkan dengan kerjasama Prasarana, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) dan Perkhidmatan Rel Ekspres (ERL).

“Kami akan melancarkan aplikasi ini bulan hadapan. Selain itu, akan ada sistem pengumpulan mata ganjaran jika pelanggan sering naik kereta api.

“Mata ganjaran ini juga akan melibatkan peniaga-peniaga yang akan bekerjasama dengan KTMB. Pada masa sama, kami akan mewujudkan kerjasama dengan pengangkutan awam lain melalui sistem dan aplikasi yang lebih mudah ini,” katanya ketika mengunjungi pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di sini semalam.

Mohd. Rani berkata, ulang tahun ke-140 KTMB yang disambut pada 1 Jun lalu menuntut syarikat untuk memenuhi permintaan pelanggan dan menjalankan tanggungjawab sosial seiring perkembangan semasa.

Katanya, segala maklumat berkaitan perkhidmatan syarikat itu perlu tepat dan pantas dalam menyediakan pengalaman terbaik untuk pelanggan.

“Sebagai syarikat yang sudah berusia 140 tahun, jangkaan pelanggan sememangnya tinggi. Mereka akan membandingkan KTMB dengan syarikat-syarikat baru tumbuh.

“Justeru, KTMB perlu menyediakan perkhidmatan terbaik dan menepati masa. Dalam era digitalisasi ini, sekiranya kami tidak mendigitalkan sistem, menepati masa, informasi tidak tepat dan menambah baik komitmen kepada orang awam, kami tidak akan memenuhi jangkaan pelanggan,” katanya.

KTMB juga telah berkembang menerusi pembawaan kargo dari Malaysia ke China serta beberapa negara lain yang masih dalam rundingan.

Tahun lalu KTMB membuat pelancaran awal namun belum lagi membuat perkhidmatan tetap.

“Kami berharap ia dapat dimuktamadkan hujung tahun ini. Dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan, kami telah berbincang bersama Thailand, Laos dan Kazakhstan.

“Apabila mempunyai per­khidmatan tetap yang boleh membawa kargo ke China maka KTMB juga boleh bergerak ke arah Barat, Eropah dan Eropah Timur dan akan menjadi mudah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN