SEPANG: Seramai 82 bakal jemaah termasuk seorang vokalis sebuah kumpulan popular era 1990-an terpaksa melupakan hasrat menunaikan haji setelah ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
Salah seorang mangsa, Amir UK’s atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56, nyata kecewa sekali gus terpaksa melupakan niatnya untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu bersama isteri, Sarimah Ahmad.
Menurut Amir, pada 9 April lalu, dia dan isteri yang merupakan seorang penjawat awam dijanjikan tawaran mengerjakan haji secara percuma dipercayai ditaja seorang hartawan, tanpa perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan sendiri.
Semua urusan berkaitan butiran diri, gambar dan nombor pasport diserahkan melalui rakan sekerja isterinya yang turut sama menjadi mangsa penipuan dan mereka dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp -Tetamu Allah Haji Akbar 2025.
Amir berkata, setelah menghadiri kursus haji pada 24 Mei dan seterusnya menerima surat tawaran dengan kepala surat sebuah agensi pelancongan terkenal pada 27 Mei, dia dan isteri teruja untuk berlepas ke Mekah.
“Dalam surat tawaran dikeluarkan dengan nama setiap bakal jemaah, kami dijanjikan visa mujamalah dengan penerbangan ke Jeddah yang dicatatkan di situ adalah pada 1 Jun, kira-kira pukul 5 petang. Pada hari tersebut saya dan isteri terus menuju ke lapangan terbang namun tiada kelibat seorang pun bakal jemaah lain.
“Rupa-rupanya, kami terlepas satu voice note dalam kumpulan WhatsApp yang meminta bakal jemaah supaya tidak berkumpul pada hari tersebut. Bila perkara itu berlaku, saya dan isteri ambil keputusan untuk menginap di sebuah hotel di Sepang dan kembali semula ke lapangan terbang keesokan harinya.
“Apa yang meyakinkan kami yang kami akan dapat juga menunaikan haji adalah ketika dimaklumkan semua bakal jemaah akan diterbangkan ke Jeddah menggunakan sebuah pesawat sewa khas dari Kompleks Bunga Raya awal pagi semalam,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Bagaimanapun, Amir berkata, semua harapan tersebut ternyata sia-sia kerana individu tidak dikenali yang dipercayai memegang tiket penerbangan, visa dan pasport kesemua bakal jemaah terbabit sememangnya tidak muncul di lapangan terbang.
Selepas menyedari diri mangsa penipuan, dia dan isteri membuat laporan polis di balai KLIA bagi mendapatkan semula pasport mereka.
“Lepas buat laporan polis baru kami dimaklumkan kesemua pasport itu boleh diambil semula di salah sebuah rumah bakal jemaah di Setia Alam, Selangor,” katanya.
Amir dan isteri membelanjakan sekitar RM4,000 bagi membuat persediaan menunaikan haji termasuk menghadiri kursus dan mengambil suntikan vaksin.
“Sepanjang dalam kumpulan WhatsApp, kami tidak bertanya banyak. Bukan apa, tawaran mengerjakan haji ini pun diberi secara percuma jadi buat apa cakap banyak-banyak kan, kami ikut sahaja apa dimaklumkan.
“Namun tidak sangka ia berakhir seperti ini, sudah tentu kami sangat kecewa kerana ini adalah impian saya dan isteri untuk menunaikan haji bersama-sama. Hingga kini kami tidak tahu siapa dalang di sebalik semua kejadian ini menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN










