Tubuh jawatankuasa khas teliti pertukaran guru agar lebih telus

Tubuh jawatankuasa khas teliti pertukaran guru agar lebih telus

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP mencadangkan agar satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi meneliti permohonan pertukaran guru melibatkan kes khas secara lebih telus dan menyeluruh.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, jumlah permohonan pertukaran dijangka meningkat susulan pengumuman minggu dan Kementerian Pendidikan perlu memberi keutamaan kepada permohonan kecemasan yang sebelum ini sukar diluluskan kerana kekangan dasar sedia ada.

“Permohonan ini tetap tertakluk kepada kekosongan dan keperluan perkhidmatan. Namun, kita bercakap tentang permohonan khas yang wajar diberi perhatian segera bukan permohonan biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, kita harap pelaksanaan inisiatif ini dapat dilakukan dengan penuh teliti dan berhemah agar matlamat asal iaitu untuk kebajikan guru benar-benar tercapai termasuk pembentukan satu jawatankuasa khas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas dua tahun berkhidmat tanpa sebarang syarat tambahan merupakan antara berita gembira yang diumumkan Kementerian Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru 2025

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, perkara berkenaan merupakan sebahagian daripada enam inisiatif baharu diperkenalkan KPM bagi memperkukuh profesion perguruan serta meningkatkan kesejahteraan pendidik.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, langkah Kementerian Pendidikan membenarkan permohonan pertukaran guru selepas dua tahun berkhidmat tanpa syarat tambahan disifatkan sebagai satu langkah positif yang mampu mengurangkan tekanan emosi warga pendidik.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu mampu melegakan banyak pihak terutamanya guru-guru yang berdepan masalah peribadi termasuk isu rumah tangga dan kesihatan pasangan.

Beliau berkata, penyelesaian masalah peribadi guru dari peringkat akar umbi membolehkan mereka berkhidmat dengan lebih tenang dan bersemangat demi kebaikan murid serta sistem pendidikan negara.

“Kami menghargai kesediaan KPM mempertimbangkan permohonan dan cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini berhubung isu pertukaran guru.

“Inisiatif ini bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan emosi guru-guru yang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan peribadi. Bila masalah itu dapat diselesaikan dari peringkat akar umbi, sudah tentu mereka boleh memberi fokus sepenuhnya dalam bilik darjah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini