KOTA BHARU: Tiga buah bangunan bernilai RM279 juta yang disifatkan antara binaan gah di negeri ini terbiar meskipun mempunyai potensi besar sekiranya dimanfaat sebaik mungkin.
Bangunan tersebut ialah Platinum Mall, Pelangi Mall dan Kota Bharu Trade Centre (KBTC).
Pensyarah Fakulti Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, keadaan itu memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi setempat di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri perlu menjalankan audit bangunan terbiar untuk mengenal pasti potensi yang boleh dibangunkan terutama di kawasan pusat bandar.
“Dengan adanya audit itu, kerajaan boleh melihat kawasan berpotensi yang perlu diberikan perhatian untuk dipulihkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 Tahun 2025, baru-baru ini meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meneliti isu bangunan terbiar di negeri ini.
Titah baginda, kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan dalam mencipta peluang ekonomi yang ada di dalam bandar bagi meningkatkan pembangunan setempat.
Nik Maheran berkata, sekiranya tiada langkah segera diambil, ia boleh memberikan kesan negatif kepada nama baik negeri dan pertumbuhan ekonominya.
Katanya, kerajaan perlu memperkenal satu dasar pemulihan bangunan terbiar seperti mewujudkan insentif pengurangan cukai, diskaun premium serta membantu pemilik untuk membaik pulih premis.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua bangunan itu kembali berfungsi dengan baik.
“Antara langkah yang boleh dipraktikkan adalah dengan mengambil alih hak milik bangunan yang telah lama terbengkalai melalui undang-undang pemulihan aset terbiar.
“Menyediakan dana khas untuk membaik pulih dan memulihkan bangunan dengan cepat dan jadikan ia sebagai aset kerajaan untuk kegunaan rakyat seperti pusat kesihatan, pusat latihan kemahiran,” katanya.-UTUSAN










