KUALA TERENGGANU: Sebuah perigi tua berusia 300 tahun di Kampung Cina di sini, tidak akan dirobohkan walaupun kawasan tersebut terlibat dengan projek pembinaan kondominium mewah sejak tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, syarikat pemaju projek tersebut telah diarahkan supaya tidak merosakkan telaga itu yang dikenali sebagai ‘Telaga Low Tiey’.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi memastikan perigi berkenaan yang merupakan antara tertua di Terengganu dan mempunyai nilai sejarah dapat dipertahan untuk tatapan dan kajian generasi akan datang.
Malah, katanya, kerajaan negeri memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju projek pembinaan tersebut agar tidak merobohkan perigi warisan yang dibina pada akhir dinasti Ming dan awal dinasti Ching pada pertengahan kurun ke-17.
“Saya difahamkan nengikut pelan kondominium itu, perigi tersebut terletak di lobi tingkat bawah kondominium berkenaan apabila siap nanti.
“Keadaan tersebut menjadikan perigi yang banyak berjasa kepada penduduk setempat dan pedagang asing sebelum kekal menjadi tarikan pelancong,” katanya ketika melawat perigi tersebut di Kampung Cina di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan di media sosial mengenai perigi tersebut mengalami kerosakan berikutan projek pembinaan kondominium berkenaan. – UTUSAN











