Tarif AS jadi topik utama pemimpin ASEAN

Tarif AS jadi topik utama pemimpin ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin negara anggota ASEAN yang bakal berhimpun pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 bermula Isnin ini di­jangka akan menumpukan perbincangan pada tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presi­den Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pengenaan tarif timbal balas 10 peratus oleh AS memberi kesan berbeza kepada setiap ekonomi ASEAN, bergantung kepada tahap kebergantu­ngan mereka kepada pasaran eksport AS serta kedudukan imbangan dagangan masing-masing.

Vietnam dikenal pasti sebagai negara dilihat paling terkesan dalam kalangan negara ASEAN, berikutan tahap kadar tarif sangat tinggi dan pergantungan besar terhadap AS sebagai destinasi eksport akhir produk mereka.

Malaysia dan Thailand pula dinilai mempunyai tahap pendedahan sederhana terhadap tarif itu, manakala Singapura menerima kesan lebih rendah berikutan kedudukan tarifnya lebih rendah dan hubungan dagangan sudah te­rikat dengan perjanjian perdagangan bebas sedia ada.

Biarpun terdapat kelegaan kepada beberapa negara ASEAN apabila AS sedang melaksanakan semakan selama 90 hari dijangka berakhir pada 9 Julai.

Umumnya penangguhan ini dilihat mampu meredakan tekanan jangka pendek, namun ia mungkin bersifat sementara memandangkan pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbang mengenakan tarif baharu lebih menyeluruh, termasuk sektor semikonduktor dan farmaseutikal.

Sementara itu, menurut draf dilaporkan agensi berita AFP, pemimpin ASEAN memberi amaran langkah unilateral oleh AS ber­potensi menimbulkan cabaran besar kepada pertumbuhan eko­nomi dan kestabilan rantau ini.

Blok ASEAN yang merangkumi 10 negara kini berhadapan tekanan ekonomi eko­ran tarif yang dikenakan AS ke atas barangan import dari negara anggota, termasuk Malaysia, terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan impak terhadap ekonomi masing-masing yang sebahagian besarnya bergantung kepada perdagangan antarabangsa.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 kali ini turut diadakan bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.

Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ iaitu dua nilai utama berteraskan nilai Madani Malaysia, me­rangkumi nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Da­ya cipta, Hormat, Keyakinan serta Ihsan.

Ia dimulai dengan mesyua­rat peringkat pegawai-pegawai kanan hari ini diikuti mesyuarat peringkat menteri pa­da 25 Mei manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan bermula 26 Mei.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sementara itu Mesyuarat Ja­watankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini semalam sebagai membuka tirai menje­lang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 Isnin dan Selasa depan.

Mesyuarat peringkat tinggi itu dihadiri wakil-wakil tetap ASEAN, Duta Besar Timor-Leste dan Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Politik – Ke­selamatan ASEAN (APSC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN