KUANTAN: Terumbu karang Malaysia kini semakin pupus apabila hampir 80 peratus memutih dan mati akibat pelunturan melampau dengan 50.7 peratus terumbu terjejas manakala secara purata 34.1 peratus mati.
Kemusnahan itu tidak sekadar melibatkan struktur laut, sebaliknya sumber ekosistem lautan termasuk kehidupan tempat asuhan benih ikan, pelindung pantai dan penyumbang utama oksigen dunia.
Pemusnahan terumbu karang diibaratkan merobohkan ‘rahim kehidupan’ di laut.
Khazanah negara ini menyumbang antara RM10.1 juta hingga RM174 juta setahun, tidak termasuk nilai sumbangan terumbu karang kepada sektor perikanan, ekopelancongan, perlindungan pesisiran pantai, nilai potensi farmaseutikal dan nilai estetika.
Laporan Kesan Pemutihan Karang Malaysia 2024 oleh Coralku dan Reef Check Malaysia dengan melakukan tinjauan di lautan membabitkan
Semenanjung dan Sabah itu turut mendedahkan negeri paling parah ialah Terengganu yang mencatatkan kematian karang mencecah 44.2 peratus.
Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Strategik), Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM), Prof Dr. Zaidi Che Cob berkata, pemutihan karang bukan fenomena semula jadi sebaliknya kecemasan global yang perlu ditangani dengan serius.
Beliau menyifatkan terumbu karang Malaysia pada ketika ini sedang ‘nazak’ apabila terumbu karang yang memutih dan mati itu berlaku berpunca daripada pelunturan melampau sekali gus menyebabkan jantung biru bumi ataupun kawasan lautan negara pada ketika ini berada dalam keadaan bahaya.
“Karang bukan sekadar struktur laut sebaliknya melahirkan kehidupan tempat asuhan benih ikan, pelindung pantai dan penyumbang utama oksigen dunia, pemusnahannya, ibarat merobohkan ‘rahim kehidupan’ di laut.
“Ekosistem karang begitu penting kepada jantung biru bumi negara kerana tanpanya sebahagian besar biodiversiti marin akan turut hilang.
“Ia menjadi rumah kepada jutaan haiwan marin dan tempat asuhan untuk benih ikan dan haiwan kecil lain. Biodiversiti marin, daripada plankton mikroskopik hinggalah paus biru gergasi, bukan sahaja indah, malah sangat penting bagi keseimbangan dan kefungsian ekologi lautan.
“Hidupan ini menyokong industri perikanan global, mengawal iklim, menyediakan ubat-ubatan dan menghasilkan lebih separuh daripada oksigen yang kita hirup. Namun kita kehilangan spesies marin pada kadar membimbangkan.
“Puncanya, terumbu karang sedang memutih dan mati. Kapal tunda industri memusnahkan populasi ikan. Mikroplastik kini ditemukan di dasar lautan paling dalam. Para saintis memberi amaran bahawa kita menghampiri titik ambang yang sangat kritikal yang mana ekosistem mungkin tidak dapat pulih semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Haiwan unik ini memiliki tumbesaran perlahan iaitu antara 0.5 sentimeter hingga dua sentimeter setahun. Justeru, pembentukan terumbu karang yang cantik di dasar laut mengambil masa puluhan tahun bagi membentuk terumbu karang dewasa.
Zaidi berkata, antara kesan pemutihan dan pelunturan karang pada ketika ini sudah memasuki era Anthropocene, suatu istilah menggambarkan zaman geologi apabila aktiviti manusia adalah pengaruh dominan terhadap hidupan dan alam sekitar.
Katanya, era Anthropocene tanpa disangkal sudah membawa cabaran hebat kepada keseimbangan ekologi lautan terutama di negara ini.
“Pencemaran, perubahan iklim dan pemusnahan habitat memberi impak besar kepada kehidupan yang mana skala dan kadar kehilangan biodiversiti atau kepupusan adalah sangat membimbangkan.
“Kepupusan Anthropocene ini, yang juga dirujuk sebagai kepupusan Holocene, adalah peristiwa kepupusan berterusan yang disebabkan secara eksklusif oleh aktiviti manusia. Kajian saintifik menganggarkan yang kepupusan massa keenam ini berlaku pada kadar yang sangat tinggi, hampir 1,000 kali ganda kadar semula jadi sekiranya tiada impak aktiviti manusia.
“Kemerosotan dan kemusnahan habitat marin berstatus mega-biodiversiti secara meluas seperti terumbu karang dan hamparan rumput laut, memburukkan lagi krisis ini,” katanya. – UTUSAN











