Syria musnah bahan kimia era Bashar al-Assad - Utusan Malaysia

Syria musnah bahan kimia era Bashar al-Assad

BASHAR AL-ASSAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Syria telah mula memusnahkan bahan-bahan kimia yang dikenal pasti oleh badan pemerhati antarabangsa, kata utusan negara itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pa­da Khamis, menandakan satu langkah besar ke hadapan sejak penggulingan pemimpin autokratik Bashar al-Assad pada 2024.

“Ini merupakan proses pemusnahan yang pertama sejak kami dibebaskan daripada rejim terdahulu,” kata Ibrahim Olabi kepada Majlis Keselamatan PBB. 

“Ia juga merupakan kali pertama bahan kimia dimusnahkan di wilayah Syria dalam tempoh lebih sedekad,” ujarnya.

Pada 2021, Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) mengambil langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengan menarik balik hak me­ngundi Syria, selepas mendapati tentera udaranya menggunakan agen saraf sarin dan gas klorin terhadap rakyatnya sendiri.

Namun, sejak penggulingan Assad, pihak berkuasa baharu di Damsyik berikrar untuk bekerjasama dengan OPCW bagi memusnahkan senjata kimia yang berulang kali didakwa digunakan oleh bekas presiden itu sepanjang perang saudara Syria selama 13 tahun.

“Kami berusaha melindungi rakyat Syria supaya senjata sedemikian tidak jatuh ke tangan yang salah,” kata Olabi.

Beliau menambah bahawa negaranya turut melindungi dunia dan rantau ini melalui usaha sedemikian. 

“Setiap lokasi yang dijamin keselamatannya, setiap bahan letupan yang dikenal pasti, bukan sekadar menghapuskan ancaman terhadap Syria, tetapi juga terhadap seluruh dunia,” tambahnya

Ketua pejabat pelucutan senjata PBB, Izumi Nakamitsu berkata, pasukan OPCW pada bulan lalu mengesahkan pemusnahan secara kekal 42 bom udara oleh pihak berkuasa Syria.

Pada 2013, Syria bersetuju menyertai OPCW dan mengisytiharkan serta menyerahkan simpanan bahan toksiknya di bawah tekanan Russia dan Amerika Syarikat (AS) selain untuk mengelakkan ancaman serangan udara oleh Washington dan sekutunya.

Langkah itu dibuat selepas serangan kimia yang disyaki berlaku di pinggir bandar Eastern Ghou­ta, Damsyik, yang mengorbankan lebih 1,000 orang, menurut risikan AS. 

Serangan itu dikaitkan de­ngan kerajaan Syria, yang menafikan penglibatan dan menuduh kumpulan pemberontak sebagai dalangnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×