Pas terbuka bersama UMNO tapi tinggalkan DAP

Pas terbuka bersama UMNO tapi tinggalkan DAP

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas sentiasa terbuka dan tidak pernah menutup sebarang pintu rundingan bekerjasama dengan UMNO, tetap bersyarat iaitu perlu meninggalkan DAP.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas tidak pernah menolak bekerjasama dengan UMNO khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, Pas tidak mempu­nyai masalah dengan kerjasama tersebut memandangkan ia demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

“Pintu rundingan sentiasa terbuka meskipun UMNO agak berat dengan terus berkeras tidak mahu bekerjasama de­ngan Pas sebaliknya sanggup pula bersama DAP. Kita ada pengalaman bekerjasama dengan DAP dan sudah faham dengan sikap parti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO yang berkongsi asas ideologi yang sama.

Kata Hamzah, disebabkan itu, Bersatu bersedia untuk menjalinkan kerjasama bagi mencapai misi yang sama.

“Jika dilihat dari sudut agenda, UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, Bersatu juga memegang ideologi yang sama.

“Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama ? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama.

“Ia untuk tujuan yang lebih besar, demi tujuan asal kami. Bersatu dan UMNO tidak sehaluan kerana perbezaan keutamaan kepemimpinan dengan parti itu mahu membawa agenda lebih segar,” katanya dalam podcast yang dihoskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd. Zaid Ibrahim yang disiarkan di YouTube baru-baru ini.

Hashim berkata, Pas juga tidak ada masalah dengan cadangan Bersatu yang tidak menolak untuk bekerjasama de­ngan UMNO.

“Kita pun sokong kalau Bersatu ajak UMNO bersama di dalam Perikatan Nasional (PN). Dasar kita jelas untuk terus memperjuangkan perpaduan ummah dengan kerjasama parti-parti politik Melayu Islam ini,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, kekalahan berturut-turut PN terutama Pas dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini tidak bermakna bahawa sokongan terhadap parti tersebut berkurangan.

Katanya, kekalahan adalah perkara biasa dan ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat Pas untuk terus berusaha lebih keras dalam mendepani PRU16 yang lebih mencabar.

“Sokongan terhadap Pas dan PN dilihat masih berterusan dengan pelbagai aktiviti juga terus giat dilaksanakan,” kata­nya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN