KUALA LANGAT: Pemandu lori 10 tan yang tular kerana melanggar seorang pekerja syarikat kurier multinasional sehingga mangsa maut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tertuduh, S. Mohanatas, 32 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu lori secara cuai dan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Mohd. Nazri Samsuri, 43, dekat Kilometer 13, Jalan Banting-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 14 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan ketetapan lain dirasakan wajar oleh mahkamah.
Peguam T. Mishant yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan rendah kerana pendapatan anak guamnya adalah sebanyak RM1,800 dan sudah berkahwin namun belum mempunyai anak.
Mohanatas ketika disoal Maslinda mengakui tidak mempunyai lesen memandu dan mahkamah memutuskan jaminan RM8,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan selain menetapkan sebutan semula pada 26 Jun depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dekat Jalan Labohan di Banting, semalam dipercayai akibat dilanggar oleh sebuah lori dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 40-an itu sedang berhenti di lampu merah, namun dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan lalu tercampak sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.-UTUSAN










