Kayu Kira-Kira mudahkan penguasaan Matematik

Kayu Kira-Kira mudahkan penguasaan Matematik

SEKUMPULAN penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghasilkan projek inovatif pendidikan bertajuk Kayu Kira-Kira yang membantu memudahkan pembelajaran Matematik peringkat awal serta lebih menyeronokkan serta meningkatkan penguasaan asas subjek tersebut di UniMAP, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghasilkan Kayu Kira-Kira, projek inovatif pendi­dikan bagi meningkatkan penguasaan mata pelajaran Matematik di peringkat awal persekolahan.

Lebih membanggakan, projek yang mengetengahkan pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran awal Matematik itu meraih pingat emas dalam pertandingan Ekspo Reka Cipta UniMAP 2025 (EREKA) pada 28 April lalu.

Projek Kayu Kira-Kira: A Fun Way To Learn Mathematic itu hasil idea Nornadia Mohd. Yazid; Dr. Siti Rohana Goh Abdullah dari Institut Matematik Kejuruteraan; Dr. Noor Alia Md Zain dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik dan Prof. Madya Dr. Nor’izah Ahmad serta Luqhman Hakim Dahlan Tabah dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nornadia berkata, Kayu Kira-Kira itu merupakan permainan pendidikan berasaskan blok kayu berwarna yang diinspirasikan daripada permainan susun kayu klasik.

Beliau berkata, setiap blok tersebut mewakili tahap soalan Matematik seperti tambah dan tolak yang perlu dijawab sebelum boleh disusun semula blok yang diambil ke atas menara.

Katanya, inovasi tersebut menggabungkan elemen pem­belajaran berasaskan permainan dan pembelajaran kinestetik yang mampu meningkatkan pe­nguasaan asas Matematik secara interaktif dan menyeronokkan.

“Kayu Kira-Kira dibangunkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan itu bagi menangani cabaran utama dalam pendidikan awal kanak-kanak, terutama dalam subjek Matematik yang sering dianggap sukar dan membosankan.

“Melalui permainan ini, kanak-kanak tidak hanya belajar mengira malah turut membina keyakinan dan kemahiran menyelesaikan masalah serta semangat bekerjasama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan seramai 84,025 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 gagal dalam subjek Matematik, iaitu antara tujuh mata pelajaran teras dalam peperiksaan itu.

Berdasarkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 lalu, jumlah itu merangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan, sekali gus menca­tatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.

Tambah Nornadia, inisiatif tersebut turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu pendidikan berkualiti dengan memperkukuhkan penguasaan awal Matematik dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran yang lebih kreatif serta berinovasi.

Kata beliau, produk itu menggunakan bahan mesra alam dan bebas skrin, sekali gus me­nyumbang kepada pembelajaran berteraskan keseimbangan digital.

“Kejayaan di EREKA 2025 baru-baru ini bukti bahawa inovasi tempatan mampu menawarkan penyelesaian efektif dalam sistem pendidikan negara.

“UniMAP dalam proses meneroka peluang pengkomersialan termasuk kerjasama strategik bersama institusi pendidikan, syarikat mainan pendidikan dan pengedar buku. Langkah ini sejajar dengan matlamat universiti untuk memperkasa inovasi pendidikan sebagai antara teras utama pembangunan modal insan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini