LANGKAWI: Sepatu Timur Sdn. Bhd. memperkenalkan kasut kawad berkualiti tinggi bersempena Pameran udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) berlangsung sejak kelmarin.
Pengarah Urusannya, Mohd. Izarul Izzat Ismail berkata, kasut itu menggunakan teknik pembinaan Goodyear Welted yang bukan sahaja cantik tetapi estetik, selesa dan berkualiti tinggi.
Katanya, walaupun sudah berusia 42 tahun, penyertaan kali pertama Sepatu Timur Sdn. Bhd. dalam LIMA’25 dilihat peluang terbaik untuk syarikat meluaskan empayar.
“Kasut kawad yang digunakan Tentera Darat sekarang adalah 100 peratus dihasilkan Sepatu Timur. Kapasiti kilang kami ketika ini adalah sekitar 10,000 pasang kasut dalam tempoh sebulan. Kami juga menghasilkan but kombat dan kasut taktikal.
“Kami menyertai LIMA’25 sebab nampak peluang sekarang, lagi-lagi selepas kerajaan banyak menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu tender secara terbuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain Kementerian Pertahanan, Sepatu Timur turut memiliki kontrak dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ujar Mohd. Izarul, mereka kini memiliki 60 pekerja di kilang yang beroperasi di Pengkalan Chepa, Kelantan dengan kesemuanya merupakan tenaga kerja tempatan.
“Dalam perancangan ke hadapan kita mahu mengembangkan perniagaan ini untuk mengupah lebih ramai pekerja tempatan tapi kita perlukan kilang terus beroperasi dan oleh sebab itu kita kena terus dapatkan kontrak.
“Saya harap kerajaan beri lebih ruang kepada kami, terutamanya sebab kita syarikat yang sudah berusia 42 tahun dan terbukti mampu menawarkan produk berkualiti,” katanya.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang singgah ke reruai Sepatu Timur di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena perasmian LIMA’25 memberi keyakinan bahawa syarikat itu akan turut diberi perhatian agensi pertahanan dan pasukan keselamatan antarabangsa.
Menurut Mohd. Izarul, agensi pertahanan dan keselamatan memerlukan kelengkapan yang bukan sahaja tahan lasak tetapi selesa dipakai sepanjang hari. – UTUSAN










