Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

KUMPULAN pertama jemaah haji Malaysia dari KT001, KT002 dan KT003 mula tiba di Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Rombongan 838 jemaah haji Malaysia melibatkan tiga kumpulan iaitu KT001, KT002 dan KT003 mula tiba di Mekah semalam secara berperingkat selepas melalui perjalanan kira-kira tujuh jam dari Madinah.

Kumpulan pertama iaitu KT001 tiba kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan di Bangunan Penginapan Jemaah Haji (BPJH) di Abraj Janadriyah yang terletak di Zon A, di sini.

Selain itu, kumpulan jemaah haji KT002 tiba di bangunan Land Premium, Zon C pada pukul 8 malam, manakala kumpulan KT003 di bangunan Abraj Tayseer, Zon B, kawasan Hafai kira-kira pukul 11 malam.

Terdahulu, semua jemaah haji terlibat diberikan taklimat keberangkatan membabitkan persediaan dari segi pelaksa­naan umrah, memakai ihram serta berniat umrah di Miqat Bir Ali sebelum ke Mekah.

Di Mekah, terdapat tujuh maktab dan setiap maktab tersebut dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A, B dan C.

Penempatan Zon A me­nempatkan bangunan Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah; Zon B iaitu Hafae’r me­nempatkan bangunan Rehab Janadriyah, Abraj Al Tayseer dan Diary Al-Saad.

Selain itu, Zon C pula me­nempatkan bangunan Land Premium dan Al Fajr Al Badee 5.

Setiap maktab juga dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk klinik kesihatan, kaunter khidmat pelanggan, kaunter bimbi­ngan ibadat, kaunter pengeluaran wang, kemudahan dobi, serta kedai runcit bagi memenuhi keperluan harian jemaah haji.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Pengarah Operasi Maktab Mekah, Mohd. Fahmi Kamarudin berkata, persiapan di setiap bangunan penginapan jemaah haji hampir 90 peratus sempurna bagi menerima kehadiran kumpulan pertama dhuyufurrahman ke Mekah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN