PETALING JAYA: Negara ini dipercayai menjadi tempat ‘persembunyian’ penjenayah warga asing yang dalam buruan pihak berkuasa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol).
Mereka dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah termasuk penipuan, judi dan dadah.
Menurut sumber, ada antara penjenayah terbabit melarikan diri dari negara asal selepas terlibat dengan kes jenayah dan menjadikan beberapa negara termasuk Malaysia sebagai tempat ‘persembunyian’ atau persinggahan.
“Ada yang mengupah sindiket tempatan bagi melindungi mereka sepanjang berada di sini.
“Malah, ada segelintir penjenayah warga asing dikesan turut melakukan jenayah di negara ini seperti kes penipuan dan dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, penjenayah warga asing ini dipercayai menggunakan laluan laut dan laluan tidak sah untuk menyeludup masuk kerana dikenakan notis merah oleh Interpol.
“Ada juga yang masuk mengikut laluan sah terutama mereka yang memegang dua kerakyatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 43 penjenayah warga asing yang bersembunyi di sini telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lapan tahun ini.
Katanya, penjenayah warga asing yang paling ramai bersembunyi di negara ini dan berjaya ditahan adalah dari Korea iaitu seramai 13 orang diikuti Taiwan (9), Uzbekistan (4), Indonesia (4), Jepun (2), Iran (2) dan masing-masing seorang dari Rusia, Pakistan, Perancis, Nepal, India, Bangladesh, Vietnam, Amerika Syarikat dan Thailand.
“PDRM bersama agensi penguat kuasa lain menjalankan pelbagai operasi untuk menangkap penjenayah yang melarikan diri ke Malaysia bagi mengelak tindakan undang-undang di negara asal mereka.
“Hasil kerjasama, risikan dan maklumat diperoleh, mereka yang bersembunyi di negara ini berjaya ditahan sebelum dihantar pulang untuk menerima hukuman di negara asal,” katanya.
Menurutnya, PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan Interpol bagi mengesan penjenayah yang bersembunyi di negara ini.
Jelasnya, kawalan sempadan bagi membanteras penyeludupan turut diperkukuhkan bagi memastikan ia tidak dibolosi sindiket tempatan dan sindiket antarabangsa.
“Ia bukan sahaja membabitkan penyeludupan manusia namun juga kes senjata api, dadah dan barangan seludup,” katanya. – UTUSAN








