Menteri perlu berdasarkan merit, bukan pangkat parti

Menteri perlu berdasarkan merit, bukan pangkat parti

Pelantikan jawatan dalam Kabinet perlu dibuat berdasarkan kemampuan, integriti dan prestasi seseorang dalam mentadbir kementerian, bukan semata-mata pengaruh atau jawatan dalam parti
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan jawatan dalam Kabinet perlu dibuat berdasarkan kemampuan, integriti dan prestasi seseorang dalam mentadbir kementerian, bukan semata-mata pengaruh atau jawatan dalam parti.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, pelantikan menteri Kabinet tidak semestinya berpaksikan kedudukan dalam parti yang mencerminkan usaha berani untuk memisahkan peranan antara parti dan kerajaan.

Menurutnya, pemisahan peranan itu selari dengan amalan pentadbiran moden yang lebih profesional dan terbuka, di samping mampu mengurangkan ketegangan politik dalaman parti serta memastikan kesinambungan dasar kerajaan yang stabil.

“Ini satu pendekatan ke arah meritokrasi. Ia memberi isyarat jelas keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kepada prestasi dan kecekapan mentadbir, bukan berdasarkan senioriti atau kedudukan dalam hierarki parti.

“Dalam konteks kerajaan campuran, ini boleh dianggap sebagai strategi realpolitik untuk mengekalkan kestabilan pentadbiran dengan menumpukan kepada menteri yang benar-benar layak dan berkesan, tanpa terikat dengan percaturan dalaman parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan Perdana Menteri menegaskan kekalahan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti baru-baru ini tidak akan menjejaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.

Katanya, keputusan pemilihan tersebut adalah urusan dalaman parti semata-mata dan tidak ada kaitan langsung dengan kedudukan dalam kerajaan Persekutuan.

Mujibu berkata, langkah itu berpotensi meredakan ketegangan dalaman parti serta memastikan dasar kerajaan dapat diteruskan dengan lebih stabil walaupun berlaku perubahan dalam struktur kepimpinan parti.

Katanya, dalam konteks kerajaan campuran, strategi ini juga boleh membantu mengekalkan keseimbangan kuasa dan memperkukuh kestabilan pentadbiran negara.

“Pelantikan berdasarkan merit membuka ruang kepada profesionalisme dan menjadi penanda kematangan demokrasi. Menteri yang bebas daripada persaingan dalaman parti boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada dasar dan tadbir urus,” katanya.

Namun, Mujibu meningkatkan, menteri yang tidak mempunyai pengaruh dalam parti perlu diberikan sokongan mencukupi agar mereka tidak menjadi liabiliti atau terpinggir dalam sistem politik sedia ada.

“Akhirnya, kejayaan pendekatan ini bergantung kepada kebijaksanaan Perdana Menteri mengimbangi antara idealisme reformasi dan realiti politik dalaman.

“Hubungan antara kerajaan dan parti perlu terus harmoni agar reformasi tidak menjadi punca perpecahan,” katanya.

Katanya lagi, rakyat menilai menteri bukan berdasarkan pangkat dalam parti, tetapi pada kemampuan menyampaikan hasil dan menyantuni rakyat.

“Kekalahan dalam pemilihan parti bukan noktah bagi seseorang menteri. Selagi mereka cemerlang mentadbir, telus dan berprestasi, mereka masih relevan dan dihormati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN