Isu nasional mempengaruhi sentimen pengundi PRK Ayer Kuning

Isu nasional mempengaruhi sentimen pengundi PRK Ayer Kuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu-isu nasional dijangka mempengaruhi besar sentimen pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr. Mazlan Ali berkata, perkara itu dilihat berupaya mengalih sokongan pengundi Melayu Barisan Nasional (BN) kepada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimana katanya, peralihan sokongan itu masih belum cukup untuk menewaskan BN di kawasan tersebut.

“Kalau kita lihat daripada segi isu BN tumpu kepada isu nasional, kestabilan politik, kemenangan BN menjamin kestabilan, di samping naratif Kerajaan Madani kuat bekerja, menjadikan Malaysia sebuah negara dihormati dunia, dengan penambahan bilangan pelaburan, kejayaan Perdana Menteri dibawa ke persada dunia.

“Tetapi untuk PN, isu sentimen perkauman dan DAP ini satu naratif yang berpanjangan sebelum PRK Ayer Kuning lagi, seperti isu-isu seperti Menara Kuala Lumpur, bendera tanpa bulan sabit dan yang terbaharu isu kandang babi, semua ini dimainkan dalam media sosial pro pembangkang.

“Termasuk isu peneroka haram Musang King di Raub, sebab ahli Parlimen DAP berperanan membela peneroka haram, maka isu dikaitkan dengan DAP dan ia sangat berkesan dalam kempen-kempen politik di PRK Ayer Kuning,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Kelmarin, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, sentimen dan persepsi negatif yang dimainkan pihak tertentu mengenai pemimpin Melayu dalam DAP tidak menggugat sokongan rakyat kepada calon kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Ayer Kuning.

Jelasnya, kebanyakan tanggapan negatif itu timbul daripada pihak yang tidak mengenali pemimpin Melayu dalam DAP dengan lebih dekat.

Mengulas perkembangan yang sama, seorang lagi penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hasan juga berkata, sejauh mana kemenangan calon PN disebabkan faktor kekuatan parti itu hanya bergantung kepada jentera Pas semata-mata, sementara calon BN dibantu dengan sokongan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kita lihat BN memang lebih ke hadapan dengan bantuan MCA dan MIC serta PH, itu adalah hakikatnya dan Pas dilihat berseorangan dan Bersatu tidak banyak membantu kerana mereka tiada penyokong dan akar umbi di kawasan tersebut termasuklah Gerakan.

“Tetapi di pihak PN, kita lihat mereka banyak menimbulkan isu kerjasama PH dan BN serta ia menjadi modal utama, namun pengundi sebenarnya akan lebih fikir apa manfaat yang mereka akan peroleh kerana keputusan kali ini tidakpun menjejaskan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan pun sebenarnya,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN