KUALA LUMPUR : Kemunculan pasukan penyampai sebuah stesen radio popular di majlis penghormatan terakhir pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini mendapat kritikan warganet apabila kedua-dua mereka tampil tanpa mengikut etika pakaian yang bersesuaian.
Menerusi tinjauan di ruangan komen Instagram stesen radio tersebut dikecam kerana gagal membuat persiapan dengan baik untuk hadir ke majlis melibatkan tokoh kenamaan negara.
Menerusi video tersebut, salah seorang penyampai dilihat terlalu santai mengenakan sekadar baju T, berseluar jeans biru dan bertopi sementara seorang lagi penyampai pula hadir dengan memakai baju kurta, berseluar jeans hitam serta beg silang.
Berdasarkan komen yang dibuat oleh pengikut dan warganet di platform tersebut, kedua-dua selebriti tersebut dikritik sebagai tidak menghormati majlis
“Sepatutnya dia tahu nak buat penghormatan terakhir kepada arwah tapi pakaian itu satu hal, ini dengan topi lagi, AllahuAkbar tak ada ertika berpakaian.
“Peliklah. Nak dikatakan Gen Z umur dah 40 lebih. Tolonglah,” tulis seorang pengguna.
“Bila orang tegur etika berpakaian, nama pun memberi penghormatan kepada seseorang yang berjasa pada negara, kenyataan rasmi dah pun dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Sebagai selebriti patut lebih cakna hal-hal seperti ini. Tak salah pun pakaian mereka tetapi teguran orang itu betul.
“Sekurang-kurangnya ada kesopanan untuk memakai baju hitam atau bersongkok atau berkopiah. Itu namanya tanda hormat,”tulis seorang lagi pengguna.
Penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari ini.
Jenazah Perdana Menteri kelima itu akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara sebaik selesai solat zohor hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi diberi penghormatan ‘Istiadat Pengebumian Negara’, hari ini.
Allahyarham yang juga dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Tokoh negarawan berjiwa rakyat ini meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Turut hadir ke majlis pengebumian ialah
bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; serta bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Selain itu, turut hadir sama ialah bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.-UTUSAN