TAPAH: Abd. Muhaimin Malek, 44, yang dipilih calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menganggap pemilihannya sebagai satu tugas dan amanah yang besar.
Beliau yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tapah berkata, dia bersedia menggalas amanah yang besar itu.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh kepemimpinan PN yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon di DUN Ayer Kuning kali ini.
“Sesungguhnya, ini adalah amanah yang terlalu besar walaupun belum tahu keputusan menang atau kalah,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK N.48 Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin;, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.
Katanya, dengan sokongan, restu dan doa seluruh rakyat di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Kuning dan jentera, PN boleh memberikan saingan yang signifikan pada PRK kali ini.
“Saya mohon restu dan doa seluruh kawan-kawan, rakan-rakan, para pengundi. Mohon kepada Allah agar saya diberikan kekuatan luar biasa untuk berkhidmat di tempat ini untuk menabur bakti dan jasa di DUN Ayer Kuning ini.
“Semoga Allah ampunkan dosa, merahmati dan memberkati tuan-tuan semua. Bantulah saya dan PN.
“Berilah peluang untuk kita mentadbir, mengurus kawasan ini (dengan penuh keikhlasan, ketulusan, kejujuran, keadilan berpaksikan prinsip Islam dan nilai-nilai murni dalam agama ini,” katanya.
Muhaimin merupakan Yang Dipertua Pas Tapah selain pengetua sebuah maahad tahfiz swasta di Ayer Kuning.
Anak jati Kampung Baru Ayer Kuning ini mempunyai tujuh orang anak dan seorang guru agama yang aktif dalam kegiatan kemasyarakatan sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Dan Pembangunan Insan Bidor.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN










