PETALING JAYA: Tindakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengasari seorang penjual belon ketika menjalankan tugas mereka di Jalan Tuanku Abdul Rahman kelmarin di sini disifatkan sebagai keterlaluan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap insiden itu ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan yang mulia, apatah lagi penjaja tersebut hanya mencari rezeki dengan menjual belon di tepi jalan.
“Ramai peniaga kecil mencari peluang menjelang musim perayaan untuk menambah pendapatan bagi menampung kehidupan seharian dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih prihatin, peka dan berhemah dalam menangani isu penjaja kecil khususnya pada musim perayaan.
“Cubalah cari jalan untuk memudahkan para peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan tertentu.
“Lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad,” ujarnya.
.Semalam, Utusan Malaysia melaporkan penularan satu rakaman video berdurasi hampir seminit di laman sosial yang memaparkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL menolak dan menjatuhkan seorang penjaja belon, sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan terbabit.
Muhyiddin turut mengimbas kembali pendekatan mesra rakyat yang pernah dilaksanakan semasa pentadbiran kerajaan PN melalui inisiatif Wilayah Bebas Berniaga.
“Inisiatif ini dilaksanakan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan yang sama boleh dilaksanakan semula oleh kerajaan bagi membantu rakyat yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, kekasaran yang ditunjukkan oleh penguat kuasa tersebut adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Betul, kalau tiada lesen atau permit, itu memang satu kesalahan. Tetapi sebagai manusia, kita kena ada timbang rasa. Dia cuma cari rezeki,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mengenali peniaga tersebut agar tampil memberi maklumat supaya pasukan guaman Pemuda UMNO dapat membantu membawa kes itu ke muka pengadilan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim turut mengecam insiden tersebut yang disifatkannya sebagai keterlaluan dan mencemarkan nilai kemanusiaan.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, sebarang tindakan penguatkuasaan tidak sepatutnya disertai kekasaran yang menjatuhkan maruah individu.
“Tiada alasan yang boleh diterima untuk membenarkan perbuatan kasar sedemikian. Ini jelas bertentangan dengan roh Ramadan yang menuntut sifat ihsan dan ihsan terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.
“Satu laporan polis dibuat oleh penguat kuasa tersebut hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, pihak polis akan memanggil pihak terlibat untuk diambil keterangan. – UTUSAN









