LOS ANGELES: Aryna Sabalenka memulakan kempen Jelajah Akhir WTA dengan langkah kanan selepas menewaskan Karolina Muchova dalam aksi dua set, semalam.
Pemain pilihan kedua itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 7-6 (7-2), 7-5 dalam pertarungan yang memakan masa hampir dua jam.
Sabalenka yang juga juara empat gelaran Grand Slam kini memburu kejuaraan pertama Jelajah Akhir WTA selepas dua kali muncul naib juara pada edisi 2022 dan 2025.
Pemain Belarus itu berdepan detik sukar pada set pertama apabila kehilangan servis untuk membolehkan Muchova mendahului 5-4.
Namun, Sabalenka segera bangkit mematahkan servis lawan untuk menyamakan kedudukan 5-5 sebelum menguasai tie-break 7-2 bagi mendapatkan kelebihan awal.
Kedua-dua pemain terus bergelut ketika melakukan servis pada set kedua, dengan Sabalenka kehilangan servis buat kali keempat ketika berpeluang menamatkan perlawanan pada kedudukan 5-4.
Bagaimanapun, dia segera memperbaiki keadaan dengan mematahkan servis Muchova untuk mendahului 6-5 sebelum memastikan kemenangan ketika melakukan servis sekali lagi.
“Saya hanya cuba untuk kekal fokus pada setiap mata, mungkin juga pada setiap pukulan, semasa ‘tiebreak’ itu. Dia (Muchova) memberi tentangan sengit, namun saya dapat mengatasinya.
“Saya gembira dengan tahap permainan yang dapat saya pamerkan dalam ‘tiebreak’ dan sudah tentu, berjaya meraih kemenangan. Ia sangat penting.”
“Bagi saya, Indian Wells telah memberikan pengalaman yang sangat baik. Jadi, saya benar-benar berharap ia akan membantu. Saya rasa, saya hanya perlu menganggapnya seperti kejohanan biasa yang lain,” kata Sabalenka.
Jelajah Akhir WTA tahun ini pada asalnya dijadual berlangsung di Arab Saudi, namun dipindahkan ke Indian Wells pada Julai susulan serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Iran pada Februari.- AGENSI











