Sindiket Ops Birth jual sijil kelahiran cecah RM50,000

Sindiket Ops Birth jual sijil kelahiran cecah RM50,000

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Suru­hanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan sin­diket Op Birth iaitu mengurus sijil kelahiran lewat mendapati dokumen itu dijual pada harga mencecah RM50,000.

Taktik digunakan sindiket ialah mengupah pemaklum atau pemohon yang menyamar sebagai waris bayi untuk mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa pendaftaran.

Menurut sumber, sijil kelahiran tersebut dijual kepada ibu bapa mempunyai anak angkat atau anak tidak mempunyai kewarganegaraan pada nilai antara RM10,000 ke RM50,000.

Katanya, ejen akan menye­dia­kan dokumen lengkap kelahiran yang diuruskan pengamal undang-undang dan dok­tor sebelum diserahkan kepada pemaklum untuk proses pendaftaran di JPN.

“Sebaik sijil kelahiran itu diperoleh, pemohon (pemaklum) akan menyerahkan kepada ejen sindiket untuk dijual semula di pasaran gelap atau ibu bapa yang sudah menunggu dan bersedia membayar bagi mendapatkan dokumen itu.

“Jumlah harga sijil kelahiran itu tidak tentu tetapi anggaran antara RM10,000 sehingga RM50,000 dijual kepada mereka yang ingin membelinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut sumber, kewarganegaraan asal bayi juga sukar ditentukan kerana proses jual beli tiada dalam pengetahuan pemaklum.

“SPRM masih dalam siasatan pembabitan ejen dan orang tengah. Setakat ini menerusi Ops Outlander hanya seorang pegawai agensi kerajaan saja yang ditahan kerana bersekongkol dengan sindiket mengeluarkan sijil kelahiran terbabit,” katanya.

Katanya,  sehingga kini seramai lapan orang masih dalam tahanan reman selepas ditahan menerusi Ops Birth dan Ops Outlander manakala dua sudah dibebaskan dengan jaminan selepas tempoh reman tamat.

“SPRM sudah membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 dan sebanyak 30 dokumen turut disita menerusi Ops Outlander,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN