PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang pengamal media bagi membantu siasatan kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan dibuat di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira pukul 11 malam, semalam.
Katanya, SPRM juga menemukan sejumlah wang kira-kira RM20,000 pada pengamal media tersebut.
“Penahanan dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dipercayai wartawan berkenaan meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan sejumlah RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan PATI,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, wartawan lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk proses reman.
Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pengamal media ditahan SPRM malam tadi.
Portal itu memetik sumber mendakwa ia berkaitan laporan berita mengenai kumpulan kartel Pakistan menyeludup pekerja asing ke Malaysia.-UTUSAN










