GUA MUSANG: Keseronokan empat sekeluarga bercuti di Kota Bharu berakhir tragedi apabila pasangan suami isteri maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan treler di Kilometer 3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Bandar Utama, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu berlaku ketika pemandu kenderaan Perodua Myvi, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, bersama dua anak pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Tanah Putih, di sini.
Anak mereka iaitu Nur Irdina Delisha berusia 10 bulan dan Muhammad Izz Danial, 5, yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana cedera di bahagian perut.
Abang kepada Nurul Syafika Anis, Mohamad Hasbi, 32, berkata, adiknya itu bersama keluarganya bertolak ke Kota Bharu untuk bercuti dan bersiar-siar kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan adik bongsunya daripada empat beradik itu adalah sebelum dia bergerak pulang ke Gua Musang.
“Sebelum dimaklumkan kejadian menimpa adik, saya terlebih dahulu membaca mesej melalui kumpulan WhatsApp mengenai kejadian kemalangan sebuah treler yang melintang di atas jalan di Bandar Utama.
“Kira-kira pukul 2.03 pagi saya menghantar pesanan kepada adik ipar supaya berhati-hati namun tiada balasan. Kira-kira pukul 2.30 pagi anggota polis menghubungi saya dan memaklumkan adik saya dan suaminya meninggal di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini, semalam.

Mohamad Hasbi berkata, dua anak saudaranya sudah dihantar ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan dan ahli keluarganya akan berbincang berhubung masa depan mereka selepas kehilangan ibu dan bapa dalam sekelip mata.
Katanya, sebelum kejadian adiknya sangat teruja ingin bercuti ke Kota Bharu bersama suami dan dua anaknya.
“Kehilangan Nurul Syafika Anis sangat dirasakan keluarga kerana arwah adalah anak bongsu daripada empat beradik dan satu-satu anak perempuan dalam keluarga kami. Kami sekeluarga reda dengan ujian ini walaupun kehilangan adik bongsu dan suaminya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Myvi itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Katanya, semasa melalui kawasan selekoh, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler jenis Scania.
“Kemalangan itu menyebabkan treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun terbabas dan terbalik.
“Kereta yang dinaiki empat beranak itu turut terbabas ke bahu kiri jalan. Pemandu dan penumpang depan kereta itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anak mereka dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan awal,” katanya.
Choon Foo berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










