Si kecil yatim piatu panggil semua wanita ‘mama’ - Utusan Malaysia

Si kecil yatim piatu panggil semua wanita ‘mama’

MUHAMMAD Zhafriel Mohd. Jamil didukung ibu saudaranya, Rasidah Baharim (kanan) bersama tiga lagi anak arwah, Muhammad Zhafran (duduk, kanan) dan Nur Izara Qaleesya (duduk, kiri) serta Nur Inara Delisha yang dipangku seorang lagi ibu saudara mereka, Suzana Baharim ketika ditemui di Taman Scientex, Pasir Gudang di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Umurnya baru menginjak setahun dan dalam usia itu tidak banyak yang diketahui atau dituturkan anak yatim piatu, Muhammad Zhafriel Mohd. Jamil kecuali perkataan ‘mama’.

Panggilan digunakan abang dan dua kakaknya itu mungkin sudah ‘melekat’ di mindanya menyebabkan setiap kali dia melihat mana-mana wanita, kanak-kanak itu akan menyebut perkataan mama berulang kali.

Muhammad Zhafriel anak bongsu kepada Allahyarham Nurul Wandiana Shakira Sapuan yang meninggal dunia pada 24 Jun lalu akibat jangkitan kuman pada otak. Bapanya, Allahyarham Mohd. Jamil Baharim turut menghadap Ilahi pada tahun lalu.

Selain anak kecil itu, kedua-dua pasangan suami isteri berkenaan turut mempunyai tiga lagi anak iaitu Muhammad Zhafran,7; Nur Izara Qaleesya, 6; dan Nur Inara Delisha, 3.

Menurut bapa saudara mereka, Adhar Baharim, 47, yang kini menjaga kesemua kanak-kanak itu, keempat-empat anak saudaranya dilihat merindukan arwah ibu mereka yang kini sudah hampir dua minggu meninggalkan mereka.

Katanya, hubungan ibu dan anak-anak itu semakin bertambah erat selepas mereka berempat kehilangan kasih sayang daripada seorang bapa yang juga adik kandungnya.

“Selepas Nurul Wandiana meninggal dunia, kanak-kanak ini sukar untuk tidur malam mungkin kerana teringatkan arwah ibu terutamanya yang berusia satu dan tiga tahun.

“Mungkin kerana terlalu rindu, anak bongsu arwah akan memanggil mama kepada semua wanita yang dilihatnya kerana itulah panggilan mereka kepada arwah ibu mereka dahulu. Sedih mendengarnya,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

Kisah empat beradik itu pernah disiarkan Utusan Malaysia selepas mereka menjadi yatim piatu setelah ibu mereka yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini menghembuskan nafas terakhir pada usia 29 tahun setelah menanggung derita akibat jangkitan kuman.

Lebih memilukan, keempat-empat beradik itu kehilangan orang tersayang empat tahun berturut-turut apabila datuk dan nenek sebelah ibu mereka meninggal dunia pada 2018 dan 2019 sebelum bapa dan ibunya.

Sementara itu, Adhar yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru itu berkata, mujur adik perempuannya kini menjadi tempat mereka menumpang kasih kerana ibu saudara mereka itu turut tinggal bersama sebelum ini.

Tambah Adhar, keempat-empat beradik itu juga akan berpindah ke rumah seorang lagi adik perempuannya di Nilai, Negeri Sembilan dalam masa terdekat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya