TAPAH: Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 15 hari lalu, ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Maklumat penemuan mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, kenyataan media berhubung perkara itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Difahamkan, mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Terdahulu, tular gambar dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti di kawasan berkenaan.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN










