Pang Ron-Pei Jing mara ke separuh akhir China Masters

Pang Ron-Pei Jing mara ke separuh akhir China Masters

Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing. IHSAN IG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mara ke separuh akhir buat kali pertama pada kejohanan badminton berstatus Super 750 selepas mengetepikan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui di suku akhir China Masters di Guangdong, China, hari ini.

Pasangan yang kini menghuni ranking No. 85 dunia tersebut mengambil masa selama 36 minit untuk membenam beregu ke-48 dunia itu 24-22, 21-5.

Pang Ron-Pei Jing yang membentuk kerjasama sejak Mei lalu pada Malaysia Masters bakal berdepan gandingan tuan rumah, Zhu Yi Jun-Li Qian yang merupakan pasangan No. 28 dunia.

Beregu China yang baharu berusia 21 tahun itu menewaskan pasangan ke-34 dunia, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin dari Taiwan 24-22, 21-12 dalam masa 34 minit pada satu lagi suku akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, Pang Ron-Pei Jing belum pernah berkesempatan bertemu Yi Jun-Li Qian sebagai pasangan, tetapi, mereka memiliki pengalaman menentang beregu muda China tersebut sewaktu beraksi bersama gandingan lama masing-masing.

Memandangkan aksi separuh akhir, esok, merupakan pertemuan sulung kedua-dua beregu dan ketiadaan data untuk dirujuk membuka seluas-luasnya kepada Pang Ron-Pei Jing bagi menentukan nasib mereka.

Serba sedikit informasi daripada pengalaman menentang Yi Jun-Li Qian dengan gandingan lama, mungkin boleh dijadikan bekalan bagi mencari titik kelemahan pencabar mereka itu nanti dalam usaha memburu tempat ke perlawanan akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×