IPOH: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih di Tapah, Jaslinda Saludin, menemukan beberapa barangan di lokasi berbeza sepanjang pencarian
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, namun barang tersebut disahkan bukan milik wanita tersebut.
Menurutnya, penemuan dalam operasi sejak Khamis itu melibatkan kawasan sungai, lereng bukit serta laluan yang dilalui pasukan penyelamat.
“Hasil pemeriksaan telah dipastikan semua barangan tersebut bukan milik orang hilang. Setakat ini operasi pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu,” katanya.
Menurutya, seramai lima anggota terdiri daripada Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) masih berada di sektor pencarian bagi meneruskan usaha mencari mangsa.
Beliau berkata, dalam masa sama, kumpulan komuniti Orang Asli yang turut membantu pencarian sejak 3 Jun lalu masih berada di sektor operasi, namun belum menemui sebarang petunjuk berkaitan mangsa.
Sabarodzi berkata, dalam operasi yang diteruskan dalam skala kecil, pihaknya menerima banyak permohonan daripada sukarelawan yang ingin menyertai SAR.
“Namun hanya permohonan yang memenuhi syarat ditetapkan dibenarkan menyertai operasi selepas melalui proses tapisan dan penyelarasan bersama Jabatan Perhutanan,” katanya.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh di sini. – UTUSAN










