BAGAN DATUK: Pekebun kelapa di daerah ini mendakwa pengeluaran kelapa di sini berkurangan hampir 70 peratus susulan musim melawas atau buah tidak menjadi disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.
Mereka mendakwa, keadaan itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan bekalan kelapa semakin berkurangan.
Dalam masa yang sama, pekebun juga berdepan ancaman haiwan liar terutama kera merosakkan buah kelapa dan meleraikan putik kelapa daripada tandan.
Seorang peraih kelapa di Kampung Sungai Tiang Baroh di sini, Kamarul Bahrain Muhyiddin, 51, berkata, kekurangan kelapa menyebabkan dia terpaksa membeli kelapa dari Indonesia.
Bagaimanapun katanya, buah kelapa dari Indonesia kurang berkualiti, mudah rosak dan santan yang dihasilkan tidak sama kualiti dengan kelapa tempatan.
“Kekurangan buah kelapa kali ini begitu ketara, banyak pokok yang tidak mengeluarkan buah banyak seperti biasa disebabkan cuaca tidak menentu.
“Keadaan ini dikenali sebagai buah melawas, satu tandan tidak mengeluarkan buah yang banyak seperti biasa. Kami anggarkan penghasilan buah susut 70 peratus,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, meskipun kelapa dari Indonesia kurang berkualiti, cepat rosak dan harga tinggi antara RM250 sehingga RM290 satu tan, iaitu antara 700 atau 800 biji, peraih tiada pilihan untuk memenuhi permintaan pembeli.
“Kekurangan kelapa menjejaskan bekalan santan. Jika bekalan kelapa tidak dihantar kepada peniaga santan, mereka terpaksa menutup perniagaan. Ini sekaligus menjejaskan peniaga lain terutama peniaga makanan yang memerlukan bekalan santan berterusan,” katanya.
Kamarul Bahrain berkata, peniaga lebih gemar menggunakan kelapa tempatan yang menghasilkan santan segar, lebih berlemak dan pekat serta tahan lebih lama berbanding kelapa import.
“Saya sudah serik beli kelapa dari Indonesia, namun tiada pilihan kerana bekalan kelapa tempatan terjejas akibat musim melawas,” katanya. – UTUSAN











