Ibu jual tanah demi rawatan anak tanpa separuh tempurung kepala 

Ibu jual tanah demi rawatan anak tanpa separuh tempurung kepala 

MUHAMMAD Sufi Abdul Aziz di samping ibunya, Noraini Ishak ketika ditemui di Jitra, Kubang Pasu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Ungkapan ‘kasih ibu membawa ke syurga’ tepat untuk menggambarkan pengorbanan Noraini Ishak, 71, yang sanggup menjual tanah demi rawatan anaknya, Muhammad Sufi Abdul Aziz yang kemalangan, dua tahun lepas. 

Muhammad Sufi , 36, kehilangan separuh tempurung kepala akibat kemalangan itu sehingga mengakui hampir kecewa namun terpaksa meredainya.

“Mak sanggup jual tanah dan habiskan wang simpanan demi jaga saya sejak kemalangan itu sedangkan saya sepatutnya jaga dia sebab itu saya cuba hidup seperti biasa buat kerja yang patut termasuk jual daging salai. Saya nak balas jasa mak,” katanya ketika ditemui di Jitra, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kisah Muhammad Sufi meraih perhatian ramai termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila akaun media sosialnya yang memaparkan konten bahawa dia memerlukan wang sebanyak RM15,000 bagi pembedahan kelimanya untuk memasang implan tempurung kepala pada 9 Mac depan.

Bercerita lanjut, Muhammad Sufi yang juga seorang penjawat awam itu memberitahu, dia berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan tersebut.

“Saya akan melakukan pembedahan tidak lama lagi dan wang itu akan saya gunakan untuk tampung perbelanjaan. Selama ini mak yang tanggung semua termasuk ketika saya koma dan dirawat di hospital. Mak juga yang jaga saya sepenuh masa sepanjang tempoh itu,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, kemalangan tersebut berlaku pada 2023 ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah setelah bertemu dengan rakannya di Tanah Merah, di sini. 

“Waktu itu pukul 3 pagi dan motosikal saya terbabas. Topi keledar saya tertanggal mengakibatkan kepala saya terhantuk pada tar. Kepala saya cedera parah termasuk retak tempurung. Selain itu tangan kiri saya juga lumpuh,” katanya. 

Katanya, sejak kemalangan dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibu terutama selepas bercerai pada Mei tahun lepas. 

“Saya terpaksa melepaskan bekas isteri agar dia mulakan hidup baharu walaupun berat hati kerana anak saya berusia lima tahun, cuma saya berharap dia tidak berpindah kembali ke Tawau (Sabah) kerana sukar untuk saya bertemu dengan anak nanti,” katanya. 

Menurut Muhammad Sufi, demi menampung kehidupan kerana tidak mahu sepenuhnya bergantung kepada ibunya, dia turut berniaga daging salai dengan pendapatan RM100 hingga RM200 seminggu.

“Alhamdulillah sejak tular ini saya tidak menang tangan siapkan tempahan. Saya jual sekilogram RM80 untuk tampung belanja apa yang patut,” katanya. 

Noraini berkata, dia tidak menyangka kisah anaknya itu meraih simpati ramai sehingga menerima banyak sumbangan ihsan.

“Saya sebenarnya segan kerana masih mampu menjaga anak dengan pencen saya sebagai jururawat. Sebelum ini saya jual sebidang tanah kerana saya tahu dia memerlukan banyak wang untuk rawatan. 

“Sufi sekarang masih dalam cuti sakit sejak lebih setahun lepas. Saya cuma harap dia kembali sihat dan dapat bekerja semula selepas buat pembedahan nanti sebab dia masih muda. Saya sendiri sudah tua dan tidak tahu selama mana lagi boleh hidup,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini